Op Global: GISB didapati tak pernah bayar cukai - KPN
Hasimi Muhamad
September 25, 2024 19:41 MYT
September 25, 2024 19:41 MYT
KUALA LUMPUR: GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) didapati tidak pernah membayar cukai yang berkaitan dan perkara itu selari dengan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijalankan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Ringkasan AI
- GISB tidak bayar cukai: GISB Holdings Sdn Bhd didapati tidak pernah membayar cukai yang berkaitan, hasil siasatan bersama PDRM dan LHDN di bawah Akta Cukai Pendapatan 19671.
- Tindakan Terhadap Tahanan: 34 tahanan akan ditangkap semula di bawah Sosma, manakala 127 tahanan dibebaskan dengan jaminan setelah selesai tempoh reman.
- Amaran Kepada Masyarakat: PDRM mengesan usaha mengumpul dana untuk anak-anak ahli GISB dan menasihatkan masyarakat agar tidak terpedaya dengan usaha tersebut.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, dapatan tersebut diperolehi hasil kolaborasi siasatan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Dalam pada itu, berdasarkan kepada keterangan yang diperolehi, sebanyak 34 tahanan yang telah selesai menjalani tempoh reman akan ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
“Manakala seramai 127 orang tahanan dibebaskan dengan jaminan setelah selesai tempoh reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Razarudin memaklumkan PDRM mengesan kemas kini yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Dzulkifli Salleh, yang kononnya bagi mengumpul dana untuk membantu anak-anak ahli GISB yang terkesan akibat isu berkenaan.
"Masyarakat dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan usaha tersebut yang dipercayai cubaan untuk mengambil kesempatan atas isu ini.
"PDRM menyeru kepada masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan bagi kes ini kepada pihak polis," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menambah hasil siasatan PDRM terhadap GISB mendapati kaedah perniagaan mereka telah dimudah cara dengan pegangan Aurad Muhammadiah versi GISB.
Katanya, pegangan mereka sangat taksub dan mendewakan pemimpin sehingga memutarbelitkan ajaran Islam yang sebenar.
"Proses ini mirip seperti proses indoktrinisasi yang mana menjadi nilai kehidupan yang dipercayai dan dianuti sepenuh hati oleh pengikut-pengikutnya.
"Doktrin ini sangat berbahaya kepada keselamatan negara khususnya ajaran agama Islam di negara ini dan kebajikan serta masa depan pengikut pengikutnya yang bergantung sepenuhnya kepada pemimpim-pemimpin mereka sahaja," tambah Razarudin.
Pada masa sama, Razarudin berkata PDRM juga menasihatkan kepada tahanan yang telah dibebaskan dengan jaminan agar tampil kepada pihak polis sekiranya memerlukan sokongan kebajikan.
Tegas beliau, PDRM komited untuk membawa individu yang bertanggungjawab ke muka pengadilan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan keamanan dan ketenteraman masyarakat terus terpelihara.
Terdahulu media melaporkan tempoh tahanan reman 24 individu termasuk Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif GISB dan isterinya disambung empat hari lagi.
Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali membenarkan permohonan polis untuk menyambung reman semua suspek berusia antara 25 hingga 65 tahun sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut berhubung tindakan eksploitasi dan pemerdagangan kanak-kanak.