Op Global: Dua sekolah dikaitkan dengan GISB berdaftar dengan JAIS

Hasimi Muhamad
September 12, 2024 16:14 MYT
JAS memantau aktiviti ahli GISB secara rapat berikutan wujudnya kaitan antara mereka dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa' - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Dua daripada premis yang diserbu polis dalam Op Global pada Rabu, yang dikaitkan dengan kumpulan perniagaan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) telah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ringkasan AI
  • Serbuan Polis dan Pendaftaran Sekolah: Dua premis yang diserbu polis dalam Op Global dikaitkan dengan GISBH dan telah berdaftar dengan JAIS. Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Rendah Islam Integrasi Miftahul Hikmah dan Maahad Tahfiz Wal Ulum Al-Ghazaly.
  • Pemantauan dan Tindakan JAIS: JAIS memantau aktiviti sekolah-sekolah ini dan tidak menemui sebarang penyelewengan. JAIS akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988.
  • Tangkapan dan Siasatan Lanjut: Seramai 171 orang penyelia dan penjaga premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH telah ditahan. JAIS bekerjasama dengan PDRM untuk siasatan lanjut berkaitan kepercayaan dan amalan ahli GISBH.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan sekolah terlibat adalah Sekolah Rendah Islam Integrasi Miftahul Hikmah yang didaftarkan pada Januari 2015 dan Maahad Tahfiz Wal Ulum Al-Ghazaly, didaftarkan pada 12 November 2014.
Katanya, kedua-dua sekolah berkenaan masing-masing akan tamat pendaftaran pada 31 Disember 2024 dan 31 Disember 2025.
"Sekolah Rendah Islam Integrasi Miftahul Hikmah terdiri daripada 12 guru dan kakitangan serta 104 pelajar lelaki dan perempuan yang menggunakan silibus JAIS.
"Sepanjang pemantauan dibuat di sekolah tersebut pada 13 Januari 2023, 23 Mac 2023 dan 26 Julai 2024, tidak wujud sebarang penyelewengan yang dikesan," katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Mohd Shahzihan berkata, Maahad Tahfiz Wal Ulum Al-Ghazaly pula terdiri daripada tiga orang kakitangan dan 54 pelajar lelaki dengan menggunakan kurikulum tahfiz sendiri.
Katanya, sebanyak lapan buah sekolah yang disyaki di bawah GISBH telah berdaftar dengan JAIS.
"Dua daripadanya telah menutup operasi secara sukarela, manakala dua lagi telah tamat pendaftaran dan satu sekolah ditarik pendaftaran, manakala baki masih lagi beroperasi sehingga 2028," tambah beliau.
Berikutan tindakan dan penemuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melibatkan sekolah yang berdaftar di bawah enakmen yang berkuatkuasa, Mohd Shahzihan menjelaskan JAIS akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sekolah terlibat mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988.
Katanya, aktiviti ahli GISBH antara yang sentiasa dipantau secara rapat oleh JAIS berikutan wujudnya kaitan antara mereka dengan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa'.
"Istitabah yang diuruskan oleh JAIS pada 8 November 2013 tidak pernah membatalkan fatwa tentang kepercayaan dan amalan yang melibatkan kumpulan Al-Arqam dan Rufaqa'," ujar beliau.
Dalam masa sama, beliau berkata pihak JAIS telah meneliti 19 video yang dimuat naik di media sosial Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS).
Menurutnya, penelitian dibuat bagi mengukuhkan lagi hasil siasatan sedia ada dan bagi mendapatkan keterangan daripada individu atau pihak-pihak lain bagi melengkapkan siasatan.
Pihak JAIS, ujar beliau juga telah berbincang dengan pihak PDRM agar barang-barang rampasan yang berkaitan dengan kepercayaan dan amalan ahli-ahli GISBH diserahkan kepada JAIS untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 7, 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan seramai 171 orang penyelia dan penjaga 20 buah premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISBH telah ditahan.
Kesemua mereka ditahan dalam 20 serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kimia Malaysia.
#Serbuan Global Ikhwan Services #JAIS #GISBH ekploitasi kanak-kanak
;