Op Global: Ahli kumpulan GISB mengaku tidak bersalah laku amang seksual fizikal

Umavathi Ramayah
September 20, 2024 16:57 MYT
Pada 11 September, polis menjalankan serbuan Op Global di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan dan berjaya menyelamatkan 392 kanak-kanak dan remaja yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian serta penderaan. - Gambar fail
SEREMBAN: Seorang lelaki lelaki dipercayai ahli kumpulan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban pada Jumaat atas enam pertuduhan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak pada tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Fawzun Azim Ismail, 20, didakwa melakukan perbuatan itu di Madrasah Dinul Hayah, Ulu Beting, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebatan.
Muhammad Fawzun turut didakwa mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) akta sama.
Pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000.
Hakim Datin Surita Budin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan dilarang mengganggu atau cuba menghubungi mangsa dan pengadu.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 30 Oktober ini.
Pada 11 September, polis menjalankan serbuan Op Global di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan dan berjaya menyelamatkan 392 kanak-kanak dan remaja yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian serta penderaan.
#GISB #amang seksual fizikal #Muhammad Fawzun Azim Ismail #penganiyaan kanak-kanak #terkini
;