Op Global: 49 kanak-kanak dari rumah amal GISB ditempatkan di JKM - KPN
Umavathi Ramayah
September 13, 2024 12:48 MYT
September 13, 2024 12:48 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 49 kanak-kanak berusia bawah lima tahun dari pusat perlindungan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) Holdings akan ditempatkan di tiga pusat perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Selangor dan Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua kanak-kanak itu diberikan perintah jagaan sementara mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-kanak 2001.
"Tiga pusat perlindungan itu bertempat di Bukit Beruntung dan Cheras di Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, pada Jumaat.
Razarudin menjelaskan, ia melibatkan 19 kertas siasatan yang dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 5 Akta Taman Asuhan Kanak-kanak, dengan 16 daripadanya dibuka di kontinjen Selangor dan selebihnya di Kuala Lumpur.
Saringan kesihatan yang dijalan ke atas 172 pelajar, setakat Jumaat mendapati kesemua mereka mengalami kecederaan fizikal dan mental, tambahnya.
"Penelitian lanjut akan dilaksanakan ke atas mangsa-mangsa tersebut dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
[BERITA LANJUT MENYUSUL]