Op Global: 13 kanak-kanak rumah amal GISB pernah diliwat - KPN

Astro Awani
September 13, 2024 11:20 MYT
Razarudin berkata, sembilan individu dikenal pasti diliwat dan polis melakukan siasatan fasa kedua, manakala selebihnya pada fasa sebelumnya. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seramai 13 kanak-kanak yang menginap di rumah amal yang dikaitkan dengam Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) memiliki rekod pernah diliwat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata sembilan individu dikenal pasti diliwat dan polis melakukan siasatan fasa kedua, manakala selebihnya pada fasa sebelumnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Latihan Polis, hari ini melalui siaran langsung di Facebook Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police).
Semua kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dalam satu kertas siasatan.
"Serbuan bertarikh 2 September lalu, polis terima laporan di Negeri Sembilan dan Selangor terdapat empat mangsa yang diliwat.
"Siasatan lanjut fasa kedua dalam serbuan pada 11 September lalu pula mendapati sembilan lagi mangsa telah dikenal pasti. Jadi siasatan dibuat di bawah satu kertas siasatan yang sama," katanya.
Dalam Op Global dijalankan antara jam 6 hingga 11 pagi Rabu lalu, seramai 392 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.
#GISB #Razarudin Husain #Kanak-kanak #liwat
;