Op Favish: Siasatan pasangan Vivy, suami dijangka ambil sedikit masa lagi - Azam Baki
Umavathi Ramayah
November 8, 2024 18:55 MYT
November 8, 2024 18:55 MYT
KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar dijangka mengambil sedikit masa, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ringkasan AI
- Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menyatakan bahawa siasatan terhadap pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, dijangka mengambil masa yang lama.
- SPRM masih mengumpul keterangan daripada saksi-saksi termasuk pasangan tersebut dan merakam keterangan dari Khazanah, PNB, serta Kementerian Kewangan.
- Siasatan melibatkan 30 Maple Sdn Bhd, syarikat milik pasangan terbabit, untuk menyiasat perbelanjaan wang dan kebenaran pembelian.
Azam berkata, pihaknya masih di peringkat untuk mengumpul keterangan-keterangan daripada beberapa saksi termasuk pasangan itu.
“Kita jangkakan siasatan keseluruhan akan ambil masa dan tidak mungkin siap dalam masa terdekat.
“Pasangan itu akan kembali untuk direkodkan keterangan esok (Sabtu) di ibu pejabat SPRM dan saya jangka ia akan berterusan untuk beberapa hari lagi,” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Hari ini adalah hari keempat pasangan itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan berhubung laporan kerugian pelaburan dana Khazanah dan PNB dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.
Azam memberitahu, selain pemeriksaan di premis milik pasangan itu, SPRM akan memanggil saksi-saksi dari Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk direkodkan keterangan.
“Setiausaha kepada syarikat berkenaan itu dan beberapa pihak lain termasuk pegawai Kementerian Kewangan juga akan dipanggil, sebab banyak perkara yang perlu diselesaikan tetapi buat masa ini kita akan fokus kepada pasangan ini dulu,” tambahnya.
Pada masa sama ujar beliau, SPRM juga perlu mendapatkan bantuan siasatan daripada pihak forensic accounting bagi mendapatkan dokumen seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Dalam pada itu jelas Azam, siasatan juga akan menjurus kepada 30 Maple Sdn Bhd, di mana syarikat tersebut dikatakan milik pasangan terbabit.
“Jadi timbul persoalan bagaimana syarikat itu boleh dibeli dan siapa beri kebenaran, sama ada resolusi atau tidak, itu yang pertama.
“Kedua, dari segi perbelanjaan wang yang diperolehi daripada pembelian berkenaan ke mana wang itu digunakan selepas dibayar kepada 30 Maple,” kata beliau lagi.
Siasatan ke atas pasangan itu adalah susulan pendedahan Kementerian Kewangan yang memaklumkan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) hanya memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, iaitu RM27 juta pelaburan yang dibuat Khazanah dan RM20 juta oleh PNB.
#FashionValet
#Azam Baki
#SPRM
#Vivy Yusof
#Fadzaruddin Shah Anuar
#kerugian pelaburan
#Khazanah
#PNB