Op Favish: Pengasas FashionValet, Vivy dan suami beri keterangan lebih lima jam

Umavathi Ramayah
November 8, 2024 14:46 MYT
Vivy dan suami ketika tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, bagi merakam keterangan untuk hari keempat, hari ini. - Foto Astro AWANI/Abdul Wafiy Nor Azmi
PUTRAJAYA: Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar meninggalkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini selepas lima jam memberi keterangan hari ini.

Ringkasan AI
  • Pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan pelaburan dana Khazanah dan PNB dalam FashionValet bernilai RM43.9 juta. 2, SPRM merampas kira-kira 60 kotak dokumen dan menyita barang berjenama mewah dari kediaman mereka untuk siasatan.
  • Siasatan ini susulan pendedahan bahawa Khazanah dan PNB hanya memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dari pelaburan RM47 juta pada 2018.

Ini merupakan hari keempat pasangan itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan berhubung laporan kerugian pelaburan dana Khazanah dan PNB dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.
Pasangan itu dilihat meninggalkan bangunan itu pada jam 1.58 tengah hari menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam.
Difahamkan, proses merakam keterangan mereka pada Jumaat adalah berkait dengan dokumen serta beberapa transaksi didakwa meragukan.
Menemani mereka di ibu pejabat SPRM adalah peguam pasangan itu, Shaarvin Raaj Selva Kumar.
Siasatan ke atas pasangan itu adalah susulan pendedahan Kementerian Kewangan yang memaklumkan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) hanya memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, iaitu RM27 juta pelaburan yang dibuat Khazanah dan RM20 juta oleh PNB.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini.
Azam berkata, setakat ini pihaknya sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
Bahagian forensik perakaunan SPRM masih menjalankan semakan terhadap semua dokumen yang diperoleh itu.
Terdahulu, kediaman milik pasangan suami isteri itu di Mont Kiara ibu negara turut digeledah pegawai SPRM.
Antara barangan yang disita termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Turut diserbu SPRM adalah Kementerian Kewangan, Khazanah serta PNB.
#FashionValet #Vivy Yusof #Fadzaruddin Shah Anuar #SPRM #kerugian pelaburan #Khazanah #PNB
;