Op Ekzos: PDRM keluar 71,127 saman hingga Mac tahun ini
Sinar Harian
April 2, 2021 11:45 MYT
April 2, 2021 11:45 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 71,127 saman atas pelbagai kesalahan menerusi Op Ekzos yang bermula dari 1 hingga 31 Mac lalu di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, untuk rekod, sepanjang tempoh itu sebanyak 157,992 kenderaan diperiksa membabitkan 76,315 motosikal, 52,059 kereta dan 29,618 lain-lain kenderaan.
"Hasilnya JSPT telah mengeluarkan 71,127 saman atas pelbagai kesalahan dengan kesalahan ubah suai ekzos menyumbang sebanyak 6,954 saman.
"Daripada jumlah saman ubah suai ekzos itu, 4,926 saman bagi motosikal, kereta (1,627 saman) dan 401 bagi lain-lain kenderaan,” katanya pada Jumaat.
Azisman berkata, selain itu, pihaknya turut menyita 2,696 motosikal, 66 kereta dan 19 lain-lain kenderaan atas kesalahan sama di 3,478 lokasi operasi di seluruh negara.
Tambahnya, kenderaan yang disita adalah bagi tujuan pemeriksaan dan akan diserahkan semula selepas kenderaan diubah suai kembali kepada spesifikasi asal.
"Operasi itu dilancarkan bertujuan menguatkuasakan undang-undang kepada pengguna jalan raya terutama pemilik serta penunggang motosikal yang melakukan ubah suai ekzos sehingga mendatangkan bunyi bising," katanya.
Justeru, pihaknya akan meneruskan operasi sedemikian dari masa ke masa di samping operasi lain seperti samseng jalanan, mabuk, lampu merah dan lain-lain.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, hampir RM32 juta bayaran saman membabitkan 291,157 saman berjaya dikumpul menerusi MyBayar Saman sehingga 31 Mac lalu sekali gus memperlihatkan sambutan menggalakkan daripada orang ramai terhadap aplikasi ini.
“Dalam tempoh tujuh hari kempen berkenaan yang bermula sejak 25 Mac lalu, sebanyak 487,077 pengguna berdaftar dengan aplikasi itu selain 2,677 aduan emel terkumpul.
“Saya harap usaha ini akan disokong orang ramai dengan terus membuat pembayaran melalui aplikasi berkenaan,” katanya.
Berita asal: Op Ekzos: PDRM keluar 71,127 saman
#Op ekzos
#PDRM
#Azisman Alias
#Polis Diraja Malaysia
#JSPT
#saman
#kesalahan ubah suai
#MyBayar Saman