Op Cantas Khas - 70 ditahan
Astro Awani
September 8, 2013 18:01 MYT
September 8, 2013 18:01 MYT
Seramai 70 individu ditahan polis dalam Op Cantas Khas bersepadu di sekitar Kuala Lumpur.
Operasi yang dijalankan Polis Di Raja Malaysia, PDRM, bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam pada 7 dan 8 September itu diadakan bagi memperhebat usaha membanteras jenayah kongsi gelap.
Operasi dijalankan polis Kuala Lumpur dan Selangor itu turut dibantu Pasukan Gerakan Am daripada Batalion 4 dan Batalion 8.
Fasa pertama bermula pada Sabtu dengan memberi tumpuan khusus kepada jenayah jalanan seperti ragut, samun dan seluk saku di samping membuat pemeriksaan terhadap individu yang mencurigakan di sekitar Brickfields Dang Wangi, Cheras dan Petaling Jaya.
Dalam operasi berkenaan, polis memeriksa 669 individu dan menahan 32 lelaki yang disyaki terbabit dalam pelbagai jenayah. Enam daripada yang ditahan memiliki tatu melambangkan kumpulan kongsi gelap yang dikehendaki polis.
Sementara dalam fasa kedua pada awal pagi Ahad pula, polis menumpukan operasi terhadap jenayah berat di kawasan sekitar Wangsa Maju, Kepong, Sentul dan Setapak.
Polis turut menyerbu tempat persembunyian dan sarang kumpulan kongsi gelap yang telah dikenalpasti dan berjaya menahan beberapa individu yang terlibat dalam kegiatan kongsi gelap.
Selain individu, pelbagai barangan seperti senjata api, senjata tajam, dan juga kenderaan berjaya dirampas.
Operasi berakhir sekitar jam 5 pagi Ahad.