Op Cantas Khas 2: STAGG, STING dan STAFOC digabung tangani kongsi gelap

Harits Asyraf Hasnan
Julai 31, 2016 22:57 MYT
Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mencuba senjata jenis Rifle Sniper Barrett 12.7 mm pada majlis Penutup Pertandingan Menembak IPSC Piala Ketua Polis Negara dan Terbuka PDRM 2016 di Lapang Sasar Briged Tengah PGA Cheras hari ini. - Foto BERNAMA
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggabungkan tiga pasukan elitnya menerusi Op Cantas Khas 2 dalam usaha menangani kegiatan kongsi gelap dan pembunuh upahan di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) akan digerakkan dalam masa terdekat selepas perancangan terperinci dijalankan.
Jelas beliau, penggabungan itu merupakan sebahagian komitmen serius PDRM dalam menangani kegusaran masyarakat negara ini susulan beberapa kejadian tembak yang berlaku pada tahun ini.
"Segala tindakan kita dalam Op Cantas Khas 2 akan lebih baik berbanding dulu selepas kita memperhalusi segala kelemahan dalam Ops Cantas Khas yang pertama selain mempertingkatkan keupayaan dalam membanteras elemen kumpulan kongsi gelap.
"Kita menyedari jenayah tembak kini semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Justeru, kita akan melancarkan Op Cantas Khas 2 bagi mengekang penularan kes tembak dengan penambahbaikan tindakan operasi yang lebih efisyen.
"Ini termasuk menggabungkan ketiga-tiga pasukan operasi khas terdiri daripada STAGG, STING dan STAFOC yang akan dipengerusikan saya sendiri," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup pertandingan menembak International Practical Shooting Confederation (IPSC) Piala Ketua Polis Negara dan Terbuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2016, di Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini hari ini.
Pada Khamis lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Op Cantas yang dijalankan polis ketika ini dipertingkatkan lagi dalam membendung aktiviti jenayah termasuk kes tembak yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Menurut beliau, Op Cantas mungkin diperkenal ekoran peningkatan kes itu termasuk yang terbaharu melibatkan seorang pemilik syarikat peminjam wang, mati ditembak di persimpangan lampu isyarat berhampiran Setapak Sentral di ibu negara, Rabu lalu.
Katanya, peningkatan kes jenayah berat seperti kes tembak di negara ini tiada kaitan dengan kelemahan undang-undang yang ada tetapi melibatkan beberapa perkara yang perlu dibuat penambahbaikan seperti pagar sempadan yang memudahkan penyeludupan senjata api berlaku.
#Maksiat dan Gengsterisme (STAGG) #Ops Cantas Khas 2 #Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) #Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) #Pasukan Tindakan Khas Judi #Tan Sri Noor Rashid Ibrahim #Timbalan Ketua Polis Negara
;