Op Bersepadu: Warga India miliki lesen memandu palsu ditahan
Ernalisa Othman
September 17, 2020 13:45 MYT
September 17, 2020 13:45 MYT
Dua pemandu lori warga India ditahan polis kerana memiliki lesen memandu kenderaan perdagangan palsu dalam Op Bersepadu di Plaza Tol Skudai, di sini, pagi tadi.
Pemandu lori lelaki berusia sekitar 50 tahun dan seorang lagi kelindan berusia 40-an ditahan selepas menyalahgunakan permit kerja.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan awal mendapati pemandu tersebut mendapat lesen secara sah di Jabatan Pengangkutan Jalan di Selangor.
Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya akan menyiasat sama ada lesen memandu kenderaan perdagangan palsu yang dimiliki warga India itu diperolehi daripada sindiket, atau secara sah dan kemudian dipalsukan.
“Paling mengejutkan adalah kes lesen palsu yang suspek buat secara sah tetapi apabila kita tengok lesen tersebut, warga asing itu memandu kenderaan perdagangan dengan lesen palsu.
“Itu yang kita dapat tangkap hari ini… yang kita tak dapat tangkap, kita tidak tahu jumlahnya berapa ramai.
“Oleh sebab itu, saya nak tekankan semua pemandu, kalau masuk Johor, sila ikut peraturan… kalau tidak ikut peraturan kita akan ambil tindakan,” katanya di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, pemandu dan kelindan warga India berkenaan ditahan reman hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 108 ( 3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan lesen palsu.
Sementara itu, sebanyak 161 operasi perdagangan telah diadakan di Johor antara bulan Jun hingga Selasa lalu.
Dalam pada itu, sebanyak 183 kenderaan perdagangan termasuk lori, treler serta bas diperiksa dengan 160 daripadanya didapati melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan dalam operasi pagi tadi.
#ayob khan mydin pitchay
#Johor
#Johor Bahru
#kenderaan perdagangan
#lesen memandu
#lesen palsu
#PDRM
#polis
#sindiket