Op Bersepadu JPJ: 895 kenderaan diperiksa, 132 pemandu dikenakan tindakan
Astro Awani
Februari 5, 2022 09:18 MYT
Februari 5, 2022 09:18 MYT
JURU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengambil tindakan terhadap 132 pemandu kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan dalam Op Bersepadu JPJ sempena Tahun Baharu Cina malam tadi.
Antara kesalahan paling banyak dilakukan adalah memandu tanpa lesen dan kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Bahagian perancangan dan Operasi) Aedy Fadly Ramli berkata, secara keseluruhannya 895 kenderaan diperiksa.
Selain 132 kes yang diambil tindakan, 181 kes lagi diberi notis atas pelbagai kesalahan.
"Antara kesalahan yang kita dapati adalah berkaitan dengan cukai jalan dan lesen memandu.
"Ada juga kita buat pemeriksaan berkaitan dengan cermin gelap kenderaan, lampu HLD dan juga asap kenderaan, yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar.
"Itu antara pemeriksaan yang kita laksanakan. Ini bagi memastikan semua kenderaan berada dalam keadaan baik dan pemandu mempunyai lesen dan cukai jalan yang sah dalam perjalanan mereka," katanya.
Aedy berkata, selain kesalahan berkaitan nombor pendaftaran, JPJ turut mengambil tindakan terhadap pemandu yang menggunakan cermin gelap serta lain-lain kesalahan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ops Bersepadu JPJ yang dijalankan di Plaza Tol Juru, Pulau Pinang malam tadi.
Operasi yang bermula jam 10 malam itu turut disertai agensi penguat kuasa lain iaitu Polis Diraja Malaysia, Elemen Peronda Lebuh Raya, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen Malaysia dan JAS.