Op bersepadu: 155 ditahan termasuk 7 kanak-kanak

Astro Awani
Februari 7, 2020 07:34 MYT
Kesalahan yang dilakukan warga asing tersebut meliputi tiada dokumen sah, tinggal melebihi masa dan tidak bekerja dengan majikan asal dalam sektor sepatutnya. - Astro AWANI
Tujuh kanak-kanak berusia lima bulan dan enam tahun merupakan antara 352 warga asing yang diperiksa Jabatan Imigresen dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), awal pagi ini.
Daripada jumlah itu, 155 ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Operasi bersepadu itu bermula pukul 1 dan berjalan hingga jam 4 pagi, tertumpu di sebuah penempatan rumah di kawasan Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya.
Pecahan warga asing yang ditahan melibatkan 130 warga Indonesia, lapan dari Nepal, sembilan dari India, empat dari Myanmar dan empat dari Bangladesh.
Semakan awal mendapati, kesalahan yang dilakukan meliputi tiada dokumen sah, tinggal melebihi masa dan tidak bekerja dengan majikan asal dalam sektor yang sepatutnya.
Operasi bersepadu itu membabitkan 200 orang pegawai imigresen dan 9 pegawai JPN.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Khairul Dzaimee berkata, visa pelancong dari wilayah Hubei di China tidak akan dilanjutkan kecuali kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan tiket penerbangan.
#Bangladesh #China #Hubei #Imigresen #India #Jabatan Pendaftaran Negara #Khairul Dzaimee Daud #Myanmar #Nepal #operasi #Pas Khas #Petaling Jaya #rumah #sekatan perjalanan #Sungai Kayu Ara #Visa #warga asing
;