Op Benteng: TLDM tahan sembilan PATI

Abd Razak Mohd Ali
Mei 8, 2022 11:20 MYT
Lapan lelaki dan seorang wanita yang dipercayai warganegara Indonesia lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan. - Foto TLDM
LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menahan sembilan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Johor Selatan lebih kurang jam 9.45 malam tadi.
Lapan lelaki dan seorang wanita yang dipercayai warganegara Indonesia lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.
Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, TLDM Lumut, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) telah mengesan keberadaan sebuah bot mencurigakan berkelajuan tinggi bergerak dari Pulau Batam, Indonesia dan disyaki menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor.
Ekoran itu, katanya, Area Control Centre (ACC) Johor telah menyalurkan maklumat pencerobohan kepada aset TLDM KD Ganyang di lapangan untuk tindakan lanjut.
“KD Ganyang seterusnya telah mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1123 dan bot pemintas RHIB LEPAU bagi memintas bot tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, menyedari kehadiran bot-bot TLDM di lokasi, bot PATI cuba melarikan diri tetapi berjaya digagalkan di lokasi 1.5 batu nautika selatan Teluk Ramunia.
Katanya, PATI yang diberkas telah dibawa ke Jeti Pos Maritim Pengerang dan diserahkan kepada Tim Op Merpati untuk soal siasat dan ujian saringan COVID-19.
“Kesemua PATI yang diberkas seterusnya akan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan siasatan lanjut,” ujarnya.
#Op Benteng #pati #TLDM #Teluk Ramunia
;