Op Benteng: Penceroboh semakin berani, tidak endah arahan pengusiran
Fauzi Suhaimi
Disember 2, 2020 19:57 MYT
Disember 2, 2020 19:57 MYT
SUBANG: Isu pencerobohan sempadan negara membabitkan warga asing masih dikesan meskipun negara kini memasuki musim Monsun Timur Laut.
Malah, penceroboh dilihat semakin berani dan sedikitpun tidak mengendahkan amaran langkah pengusiran yang dikuat kuasa sejak 25 Oktober lalu.
Kru Astro AWANI berkesempatan menyertai tinjauan udara menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) bersama bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada malam Selasa.
Pegawai Sistem Operasi Udara APMM, Leftenan Komander Maritim Mohd Hafizi Mohd Nor berkata, Op Benteng digerakkan pada jam 7.40 malam dari Pangkalan Udara APMM, Subang menggunakan Pesawat Udara Bombardier CL 415 MP dengan kawasan pemantauan meliputi keluasan 7,200 batu nautika.
"Tumpuan operasi adalah di kawasan perairan Selat Melaka melibatkan tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang meliputi sempadan negara Thailand dan Indonesia," katanya di sini pada Selasa.
Tiga jam pertama, tiada sebarang kelibat bot warga asing dikesan berada dalam perairan negara.
Yang ada hanyalah bot nelayan tempatan dikesan sekitar tiga negeri berkenaan.
Namun itu bukan tujuan sebenar operasi, sebaliknya kawalan sempadan negara yang ketat jadi keutamaan.
Operasi diteruskan dengan laluan penerbangan terarah ke kawasan perairan Perak sebelum menghala ke Selangor.
Ketika menghampiri perairan Pulau Jarak kira-kira 2.0 batu nautika, radar berjaya mengesan kira-kira 40 buah bot nelayan asing dipercayai warga Indonesia.
Ketika itu, penerbangan berada pada ketinggian 3,000 kaki dari aras laut dan ia diturunkan sehingga mencecah 300 kaki bagi merakam kehadiran bot sebagai bahan bukti.
Mohd Hafizi berkata, cabaran operasi pada waktu malam adalah jarak penglihatan yang terhad, lebih-lebih lagi jika cuaca kurang baik.
"Namun itu bukanlah penghalang.
"Maklumat itu terus disalur kepada agensi penguatkuasaan yang sedang membuat kawalan laut untuk tindakan pengusiran," katanya.
Beliau menambah, sejak Op Benteng dilancarkan, pola pencerobohan warga asing dilihat menurun.
"Sejak arahan pengusiran sementara dilaksanakan, sebanyak 231 bot asing telah diusir melibatkan semua perairan negara," ujarnya lagi.
#APMM
#Indonesia
#Thailand
#warga asing
#penerbangan
#bot
#Op Benteng
#Sempadan Negara
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
#nelayan
#pencerobohan
#pengusiran
#COVID-19
#PKPD