Op Benteng: Maritim usir dua bot nelayan Indonesia di perairan Perak
Abd Razak Mohd Ali
November 12, 2020 13:51 MYT
November 12, 2020 13:51 MYT
LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak mengusir dua bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan 33 batu nautika barat laut Pulau Jarak, dekat sini, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Perak, Kapten Shahrizan Raman berkata, dua bot itu dikesan kapal maritim KM Rawa yang sedang melaksanakan Op Benteng di perairan negeri Perak sekitar jam 11 pagi
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati satu bot pukat jerut yang dikendalikan 20 kru termasuk tekong, serta satu bot peranti dengan lima kru, kesemuanya warga Indonesia, sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.
“KM Rawa telah memberi amaran kepada kedua-dua bot tersebut kerana berada di dalam perairan negara Malaysia dan mengarahkan berhenti melakukan aktiviti serta keluar daripada perairan negeri Perak dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, kata Shahrizan, pengusiran turut dibantu pesawat udara Maritim AW139 yang juga dalam pengawasan udara Op Benteng di perairan Selat Melaka.
Menurutnya, kedua-dua bot nelayan itu diusir keluar oleh kapal dan pesawat udara maritim secara membayangi sehingga ke sempadan perairan Malaysia - Indonesia.
"Ini adalah bot nelayan Indonesia yang kelima dan keenam menceroboh perairan Perak dan diusir keluar sejak 31 Oktober 2020," ujarnya.
Katanya, pengusiran terhadap nelayan asing itu merupakan tindakan semasa dalam mencegah dan mengekang penularan COVID-19 khususnya melalui kes import yang dibawa oleh warga asing.
“Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng Laut dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin dan jenayah rentas sempadan,” tambahnya.
#maritim
#Perak
#Shahrizan Raman
#usir
#bot nelayan
#warga asing
#nelayan asing
#bot pukat jerut
#warga Indonesia
#Indonesia
#menangkap ikan
#Op Benteng
#perairan Malaysia
#jenayah rentas sempadan
#pati
#amaran