Op Benteng Laut: TLDM tahan dua PATI di perairan Johor Selatan
Aida Aziz
Jun 9, 2022 13:06 MYT
Jun 9, 2022 13:06 MYT
LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menahan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai warga Indonesia di perairan Johor Selatan, malam tadi.
Kedua-duanya yang masing-masing berusia 33 dan 46 tahun itu, diberkas pada jam 9.59 malam atas kesalahan menceroboh negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.
Terdahulu, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan keberadaan sebuah bot yang mencurigakan dan berkelajuan tinggi, bergerak dari Tanjung Balai, Indonesia, disyaki menuju ke Pulau Che Kamat, Johor.
"Area Control Centre (ACC) Johor menyalurkan maklumat pencerobohan kepada aset TLDM KD Gempita di lapangan untuk tindakan lanjut.
"KD Gempita seterusnya mengkoordinasikan aset TLDM FCB 1124 dan bot pemintas Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Lepau bagi melaksanakan penjejakan dan pemintasan ke atas bot tersebut," kata Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut dalam kenyataan hari ini.
Menyedari kehadiran bot TLDM, bot PATI berkenaan bertindak memecut laju dan berpatah balik untuk keluar dari perairan negara.
"Dalam kekalutan untuk meloloskan diri, bot curiga telah bertindak agresif dan mengakibatkannya terbalik di lokasi 3.3 batu nautika selatan Pulau Che Kamat.
"Hasil tindakan pantas krew FCB 1124 dan RHIB Lepau, berjaya menyelamatkan dua mangsa itu," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua PATI yang diselamatkan dibawa ke Jeti Maritim Tanjung Pengelih untuk diserahkan kepada Tim Op Merpati bagi soal siasat dan ujian saringan COVID-19.
"Siasatan lanjut mendapati bot itu hanya membawa dua individu dipercayai PATI semasa kejadian.
"PATI yang diberkas akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia bagi tindakan selanjutnya," katanya lagi.
Ujarnya, kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat yang pantas oleh kesemua agensi terlibat memastikan setiap cubaan menceroboh dapat dipatahkan, baik di laut mahupun darat.