OP Ambang Tahun Baharu 2023 polis P. Pinang tumpu aktiviti samseng jalanan
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 29, 2022 18:24 MYT
Disember 29, 2022 18:24 MYT
GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang akan menjalankan operasi bersepadu iaitu Op Ambang Tahun Baharu 2023 bagi membanteras aktiviti samseng jalanan di negeri itu.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, operasi bersepadu itu akan bermula petang Jumaat (30 Disember) sehingga awal Tahun Baharu 2023.
Fisol berkata, pemeriksaan dan operasi akan dilakukan di lima daerah dengan tumpuan dijalankan di beberapa kawasan 'hotspot' tumpuan mat rempit di negeri itu.
Selain itu, kata beliau, pemeriksaan juga akan dijalankan di bengkel-bengkel haram yang menjalankan kegiatan modifikasi tanpa kebenaran.
“PDRM Pulau Pinang bersama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi-agensi lain seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), majlis perbandaran akan mengadakan operasi untuk melakukan pemeriksaan kenderaan motosikal terutamanya beri tumpuan kepada motosikal yang membuat modifikasi antaranya ekzos.
“(Operasi) bermula petang esok hingga habis 2022 hingga masuk 2023… tindakan berterusan ini kerana PDRM dilantik menangani samseng jalanan,” kata Fisol dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, di sini, pada Khamis.
Tegas beliau, tindakan sitaan kenderaan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan diambil sekiranya pemilik motosikal melakukan kesalahan mengubahsuai kenderaan secara haram.
Dalam pada itu, Fisol berkata, seramai 108 penunggang motosikal yang terlibat dengan aktiviti samseng jalanan telah ditahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Selain itu, operasi juga tertumpu kepada tempat letak kereta haram khususnya di kawasan tumpuan pelancongan.
Fisol berkata, seramai 1081 pegawai dan anggota PDRM negeri itu akan terlibat dalam operasi yang akan diadakan bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain.
#OP Ambang Tahun Baharu 2023
#samseng jalanan
#polis pulau pinang
#Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang