Op Ambang Merdeka: 107 saman dikeluarkan sekitar Alor Setar
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 31, 2022 12:12 MYT
Ogos 31, 2022 12:12 MYT
ALOR SETAR: 109 motosikal ditahan dan 107 saman dikeluarkan.
Itu mungkin nilai 'kemerdekaan' diperolehi sekumpulan remaja yang melakukan aktiviti lumba haram dan berpeleseran pada malam Ambang Merdeka malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kesemua mereka ditahan sekitar jam 2.30 pagi ketika berlumba di Lebuhraya Darul Aman.
Katanya, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sebelum itu melakukan pemantauan sejam lebih awal di lokasi sebelum melakukan kepungan.
Sebaik menyedari kehadiran polis kumpulan motosikal itu bertidak melarikan diri.
Bagaimanapun cubaan mereka gagal apabila dua pintu utama jalan itu telah ditutup dan dikepung.
Ahmad Shukri berkata, sebanyak 109 buah motosikal ditahan dan dibawa balik ke Unit Trafik IPD Kota Setar untuk pemeriksaan.
Hasilnya sebanyak 107 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Antara kesalahan paling banyak dikesan adalah pengubahsuaian motosikal serta tidak memiliki lesen memandu dan kebanyakan mereka berusia belasan tahun hingga 20-an.
Ahmad Shukri berkata, dalam operasi itu, sebanyak 22 buah motosikal turut disita kerana cukai jalan tamat tempoh dan status pemilikan meragukan.
Katanya, selain itu juga, sebanyak sembilan buah kereta turut diperiksa dalam operasi itu dan dikenakan tindakan saman.