Onn Hafiz harap ramai anak Johor di perantauan pulang sumbang bakti

Bernama
Mei 3, 2024 07:00 MYT
Onn Hafiz ketika berucap pada majlis jamuan Aidilfitri ‘Malam Tanjung Puteri’ anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ), di Dewan Perdana Felda. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berharap lebih ramai anak perantauan Johor dapat pulang untuk menyumbangkan buah fikiran dan idea bagi memajukan negeri kelahiran mereka.
Beliau berkata pelbagai usaha sedang giat dijalankan pihak kerajaan negeri bagi menarik minat anak jati Johor di perantauan itu dalam misi menjadikan negeri tersebut paling maju di Malaysia.
"Kita tengok ramai anak Johor yang berada di perantauan memiliki tahap profesionalisme tinggi. Ramai di antara mereka merupakan peguam, arkitek jurutera dan sebagainya.
"Kena ada sebab untuk mereka balik, kalau ekonomi (negeri) baik, ada peluang pekerjaan dengan gaji setimpal, insya-Allah mereka akan balik. Itu persekitaran yang kita akan cuba buat (di Johor) untuk tahun-tahun mendatang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Tanjung Puteri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) di Dewan Perdana Felda di sini pada Jumaat.
Turut hadir pada Majlis itu bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam danPresiden PAMJ Datuk Seri Syed Hussein Syed Abdul Kadir Alhabshee.
Pada Majlis itu, Onn Hafiz turut mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada PAMJ tahun ini bagi menganjurkan pelbagai aktiviti buat anak Johor di perantauan di Kuala Lumpur dan Selangor.
Dalam masa sama, beliau memuji usaha PAMJ mengadakan pelbagai program yang dapat mengumpulkan anak Johor sekali gus bertukar pendapat idea bagi perkembangan negeri kelahiran mereka.
"Lebih banyak libat urus yang kita buat (bersama rakyat Johor di perantauan) lebih baik kerana mereka dapat bertukar-tukar pendapat dengan kepimpinanan di pihak negeri bagi memajukan lagi Johor," katanya.
-- BERNAMA
#onn hafiz ghazi #anak perantauan #sumbang buah fikiran #majukan Johor
;