Online scam: DPDM sambut baik kerjasama Malaysia, Singapura tangani isu
Faida Rahim
Februari 5, 2023 14:31 MYT
Februari 5, 2023 14:31 MYT
KUALA LUMPUR: Hala tuju Kerjasama Malaysia Singapura dalam menangani isu penipuan dalam talian bakal menjadi pemangkin untuk merancakkan lagi sektor perniagaan digital di negara ini.
Presiden Dewan Perniagaan Digital Malaysia (DPDM), Chris Daniel Wong berkata, pihaknya menyambut kerjasama perkongsian maklumat dan kepakaran dalam menangani isu ini antara Malaysia dan Singapura.
“Kami menyambut baik pembaharuan memorandum persefahaman (MoU) tersebut kerana pasca COVID-19, peniaga berlumba mendigitalisasi perniagaan mereka terutama dengan rakan-rakan di Singapura.
“Kita berharap kita boleh merancakkan lagi terutama bidang eksport sama ada untuk produk pembuatan atau perkhidmatan daripada Malaysia ke Singapura. Melalui usaha ini, kita berharap kerancakan ekonomi dapat dimangkinkan lagi,” katanya dalam Buletin AWANI, hari ini.
Chris Daniel turut mengulas mengenai pembayaran QR Rentas Sempadan di Malaysia dan Singapura yang mana pihaknya berharap usaha itu berjaya disempurnakan tidak lama lagi.
“Saya merasakan tak ada isu... tak ada masalah. Kalau kita lihat antara Thailand PromtPay dan Singapore Net, kedua dua syarikat ini telah menggunakan aplikasi supaya mereka dapat berinteraksi antara aplikasi di Singapura dan aplikasi di Thailand bagi memudahkan pembayaran melalui QR Pay.
“Jadi saya rasa tak ada masalah antara Malaysia dan Singapura. Cuma keinginan itu, it’s a political will.
"Kalau kita dapat laksanakan problem tersebut saya rasa ramai peniaga antara Malaysia dan Singapura akan menggunakan QR Code Payment yang lebih cepat, selamat dan juga mudah antara peniaga dan pembeli. Jadi kita berharap program tersebut dapat dilaksanakan segera,” katanya.
Dalam pada itu, Chris turut menyeru Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) memperkasa ekonomi negara dalam perbelanjaan perlindungan data peribadi untuk mengoptimumkan penggunaan sekali gus mengembangkan perniagaan.