Ong tiada dalam senarai MCA, tegas Chua

Teoh El Sen
Februari 27, 2013 20:15 MYT
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini berkata beliau tidak dimaklumkan oleh Barisan Nasional (BN) tentang sebarang ‘pencalonan secara langsung’ anggota parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat.
Beliau juga bertegas memberitahu bahawa Ong tiada dalam senarai calon pilihan raya parti tersebut.
“Saya tidak mendengar apa-apa dari BN. Setahu saya, dia (Ong) tiada dalam senarai MCA,” kata Chua ketika ditemui wartawan pada majlis pelancaran buku di Sunway Pyramid.
Semalam, sebuah portal berita tempatan telah melaporkan bahawa BN akan meletakkan Ong sebagai calon secara langsung.
Laporan tersebut telah memetik satu sumber yang mengatakan Ong telah diputuskan sebagai ‘boleh menang’ oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam satu mesyuarat "bilik perang pilihan raya" pada Isnin.
Laporan itu juga mendakwa para pemimpin parti komponen tidak dimaklumkan tentang keputusan tersebut.
Minggu lalu, Chua telah mengumumkan bahawa Ong tidak tersenarai sebagai calon di bawah MCA bagi mempertahankan kerusi Pandan.
Beliau juga memberitahu Ong tidak lagi mendapat sokongan daripada komponen lain dalam BN.
Sebagai pengganti, Chua telah meletakkan seorang peguam berusia 39 tahun, Gary Lim kerana beliau dikatakan tidak mempunyai ‘musuh’ sebagaimana ahli politik lama yang lain.
#BN #calon #Datuk Seri Chua Soi Lek #Datuk Seri Ong Tee Keat #MCA #PANDAN #pilihan raya #senarai
;