Ong Tee Keat tarik balik saman fitnah RM500j terhadap Tiong King Sing
Bernama
November 6, 2013 15:34 MYT
November 6, 2013 15:34 MYT
Bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini menarik balik saman fitnah RM500 juta terhadap anggota Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berhubung kenyataan berkaitan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi S.M. Komathy Suppiah membenarkan permohonan Ong untuk menarik balik saman itu di dalam kamar di hadapan peguam Chan Tse Yuen dan Tan Foong Luen mewakili Ong dan Datuk K. Kumaraendran dan Prem Ramachandran mewakili Tiong.
Kumaraendran memberitahu pemberita, mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos.
Pada Ogos 2009, Ong memfailkan saman terhadap Tiong mendakwa beliau telah mengeluarkan pernyataan fitnah berhubung perkara itu yang disiarkan di dalam laman web Malaysiakini pada 12 Ogos 2009.
Bekas presiden MCA itu mendakwa kenyataan itu berniat jahat untuk menghalang siasatan yang adil dan betul dijalankan berhubung penyalahgunaan dana dalam projek PKFZ dan peranan Kuala Dimensi Sdn Bhd dalam urusan itu.
Kuala Dimensi merupakan kontraktor siap guna bagi projek PKFZ.
Ong mendakwa kenyataan itu telah menjejaskan reputasi, imej, integriti dan nama baik beliau di mata masyarakat.