TERTARIK melihat reaksi persoalan pelbagai pihak berkaitan bantuan one-off RM 200 seorang ini.

Terlebih dahulu, sekalung penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan khususnya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh ahli barisan kabinet kerajaan atas pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Pakej ini dianggap menyeluruh kerana bukan sahaja golongan B40 sahaja dapat merasai bantuan ini, golongan M40 dan mahasiswa tidak dilupakan.

Salah satu insentif pakej ransangan ekonomi tersebut adalah peruntukan sebanyak RM 270 juta kepada semua mahasiswa pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS.

Jelaslah, kerajaan menunjukkan komitmen untuk menjaga kebajikan mahasiswa tanpa memilih bulu, latar belakang dan tempat pengajian.

Bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang yang dijadualkan akan dibayar pada bulan Mei 2020.

Baru-baru ini, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva meramalkan kesan kemelesetan ekonomi global tahun ini lebih buruk berbanding krisis kewangan pada 2008.

Oleh itu, pihak kerajaan digesa agar menyegerakan pemberian bantuan secara one-off ini lebih awal.

Hal ini, bagi meringankan bebanan mahasiswa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Manfaat bantuan ini dapat dinikmati oleh mahasiswa beragama Islam bagi persiapan sambutan hari raya juga yang kurang daripada 2 bulan ini jika pemberian diawalkan.

Pemberian bantuan secara one-off ini wajar diberikan secara kredit tunai ke akaun bank pelajar. Di samping itu, kerajaan boleh memanfaatkan Kad Debit Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) sedia ada. Bagi mana-mana pelajar yang tiada Kad Debit Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) tersebut, kerajaan boleh mewujudkan akaun bank baharu secara automatik susulan penerima bantuan one-off RM 200 ini.

Skop perbelanjaan bantuan ini juga dapat diperluaskan berbanding pemberian bantuan melalui baucer. Pemberian melalui baucer menghadkan penggunaan bantuan ini kerana setiap kedai yang berdaftar dengan kementerian dan dibekalkan mesin pengimbas sahaja boleh melakukan urusniaga melalui baucer tersebut.

Cetusan idea ini diperjuangkan demi mengelakkan masalah dan penyalahgunaan Baucar Buku 1 Malaysia (BB1M) tempoh hari berulang.

Frasa "Cash is King" perlu diaplikasikan sebagai mekanisme pemberian bantuan ini agar mahasiswa diberikan pilihan ke mana wang ini sepatutnya dibelanjakan.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan idea pemberian bantuan ini melalui e-tunai seterusnya meningkatkan perkembangan pendigitan ekonomi ke arah penggunaan e-dompet dan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan peniaga di Malaysia.

Kesimpulannya, semoga bantuan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para pelajar dan dapat menyuntik motivasi tambahan untuk meneruskan sesi pembelajaran dalam menghadapi krisis ekonomi ini.


* Penulis ialah mahasiswa Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI