One City tuntut penjelasan polis, kaitkan syarikat itu dengan insiden kuil
Diyana Ibrahim
November 27, 2018 16:23 MYT
November 27, 2018 16:23 MYT
Syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd hari ini menuntut penjelasan daripada pihak polis yang mengaitkan mereka dengan insiden pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya awal pagi semalam.
One City dalam satu kenyataan berkata, ia terkejut dengan laporan media yang memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim semalam yang membayangkan mereka terlibat.
"One City meminta penjelasan polis daripada kenyataan tersebut di mana kita sentiasa mematuhi undang-undang sepanjang proses itu," kata kenyataan tersebut.
Laporan Bernama semalam memetik kenyataan Noor Rashid yang menyatakan kemungkinan ada pihak yang hendak ambil alih tapak itu dengan mengupah sekumpulan samseng.
Syarikat pemaju itu berkata tidak ada sebab untuk mereka terlibat dalam kekecohan tersebut kerana isu pengambilalihan tapak kuil itu telah dibawa dalam dua kes mahkamah serta perbincangan bersama pihak-pihak berkepentingan.
"Berdasarkan penghakiman persetujuan 2014, kami tiada sebab untuk terlibat dalam hal itu kerana pihak berkuasa sudah terikat dengan perintah mahkamah untuk membantu dalam proses itu.
"Kami menolak keganasan yang berlaku pagi tadi dan tidak pernah berfikir untuk terlibat dalam tindakan itu," kata kenyataan itu lagi.
Dalam penghakiman persetujuan, One City bersetuju mendepositkan wang RM1.5 juta kepada pihak kuil, dan penangguhan penempatan semula kuil bagi memberi laluan kepada upacara yang perlu diadakan sebagai usaha pemaju itu meyelesaikan isu perpindahan secara aman.
Syarikat pemaju itu berkata, ia turut bersedia memberi kerjasama kepada polis dan tidak pernah menyembunyikan sebarang maklumat dan pada masa sama berharap pihak berkuasa juga dapat memberi bukti menunjukkan mereka terbabit dalam kekecohan tersebut.
"One City menghormati siasatan yang dilakukan pihak berkuasa dan kita berharap mereka juga dapat berkongsi sebarang bukti mengaitkan insiden itu dengan kami. One City sentiasa telus dan terbuka berhubung perkara itu.
"Kerana itu seorang pegawai kanan kami telah berkomunikasi dengan polis dan telah membuat satu temujanji untuk membantu siasatan," katanya.
#2014
#Cuba
#India
#keganasan
#Ketua Polis Negara
#lelaki
#mahkamah
#Media
#Melayu
#Noor Rashid Ibrahim
#polis
#siasatan
#Subang Jaya
#undang-undang