Omicron: MINDEF serah kepada KKM berhubung penganjuran DSA, NATSEC 2022
Bernama
Disember 3, 2021 05:17 MYT
Disember 3, 2021 05:17 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyerahkan keputusan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada membenarkan atau sebaliknya, penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022, yang akan diadakan Mac tahun depan jika kes virus COVID-19 varian Omicron meningkat di negara ini.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ketika ini, pihaknya masih belum mengetahui perincian berkaitan varian berkenaan dan kesannya terhadap mereka yang dijangkiti dan mereka yang mengambil vaksin.
Beliau berkata jika terdapat sebarang maklumat terperinci berkenaan varian ini, MINDEF akan menyalurkannya kepada KKM.
"... sebab kita dah beri mandat kepada KKM untuk membuat pengumuman (berkaitan DSA dan NATSEC 2022) tanpa merujuk kepada Mesyuarat Quartet COVID-19 berhubung dengan Omicron ini, dan untuk kita bawa pula ke persidangan khas yang dipengerusikan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).
"Ini disebabkan penularannya dan perkembangan Omicron ini cukup pantas dan sebenarnya tidak (ada) masa menunggu untuk bermesyuarat. Oleh kerana ia berkisarkan dengan isu kesihatan, kita serahkan kepada Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) untuk mengumumkannya," katanya dalam sidang media bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas melancarkan DSA 2022 dan NATSEC 2022, di sini.
Selain itu, beliau juga melahirkan harapan untuk mengadakan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA'23), namun ketika ini fokus diberikan kepada DSA 2022 dan NATSEC 2022 terlebih dahulu.
"Harapan saya begitu (mahu diadakan), tapi kita mempunyai masa lagi dan apa yang nak kita lihat sekarang adalah DSA (dan NATSEC) ini dapat dijayakan, dan sekiranya kita dapat buat dengan jayanya (pada Mac tahun depan), saya rasa kita boleh buat persiapan untuk LIMA'23.
"Kita semua sedia maklum bahawa LIMA lebih besar cabarannya dan kita pun tidak tahu apa yang akan berlaku dua tahun akan datang, berhubung kait dengan penularan COVID-19 ini," katanya.
Sementara itu, Hishammuddin menjelaskan pihaknya sedang melakukan siasatan secara peribadi, berhubung kes seorang individu yang mendakwa adiknya iaitu seorang anggota tentera yang tinggal dalam kem bujang dipukul dan dibuli sekumpulan anggota (tentera) senior, yang dimuat naik melalui Twitter @pedoqpop, baru- baru ini.
"Tuan punya badan dari segi 'posting' awal tak tampil ke hadapan dan saya telah mohon Timbalan Menteri Pertahanan (Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz) untuk membuat siasatan secara peribadi sendiri, (termasuk dengan mesej terus yang diterima berhubung kes ini).
"Kita tidak akan kompromi dengan isu buli seperti contoh, mereka yang terlibat dalam kes buli semasa saya memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran dahulu, telah pun dihukum di mahkamah baru-baru ini, rayuan mereka telah pun ditolak dan (yang terbabit) dipenjara," katanya.
Beliau berkata layanannya terhadap kes ini berasas dan memohon agar masyarakat tidak terikut-ikut dengan apa yang dibaca di luar sana.
"Hanya hanya bersalah, apabila dibuktikan bersalah dan saya tidak mahu anggota saya dibicarakan dalam media sosial," katanya.
Semalam, Hishammuddin dalam laman Facebook rasminya menggesa individu yang mendakwa adiknya dibuli di sebuah kem tentera, tampil memberikan maklumat supaya siasatan menyeluruh berhubung perkara itu dapat dibuat.
Menerusi perkongsian itu, beliau berkata identiti individu (pemberi maklumat) berkenaan juga akan dilindungi dan tindakan tegas akan diambil sekiranya dakwaan tersebut benar.
-- BERNAMA