Omicron: Kedah sedia terima pelancong asing melalui Gelembung Pelancongan Langkawi
Adie Sufian Zulkefli
Disember 3, 2021 17:25 MYT
Disember 3, 2021 17:25 MYT
ALOR SETAR: Di sebalik penularan varian Omicron COVID-19 di banyak negara, Kerajaan Negeri Kedah tetap bersedia menerima kedatangan pelancong asing sempena bermulanya projek rintis Gelembung Pelancongan Langkawi (GPL), hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, setakat hari ini pelancong asing yang tiba di Langkawi dari Singapura tidak perlu menjalani kuarantin melainkan mereka mempunyai simptom.
"Kita tak perlu bimbang kerana pelancong asing yang tiba hari ini dari Singapura dan penerbangan secara terus dari negara itu ke pulau ini.
“Malah kesemua pelancong ini sudah menjalani ujian saringan COVID-19 dan individu yang negatif saja dibenarkan berlepas ke Langkawi.
"Malah pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 tambahan pada hari ketiga dan kelima dari tarikh ketibaan dengan jenis ujian adalah RTK-Ag secara profesional,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Omicron | Pengembara dari 26 negara tidak dibenar sertai GPL
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini memaklumkan, Malaysia mengenakan larangan kemasukan pelancong dari lapan negara yang telah disenaraikan mempunyai kes daripada varian Omicron.
Sekatan perjalanan terhadap lapan negara yang dikenal pasti adalah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi.
Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pula semalam berkata, Malaysia mengeluarkan larangan kepada pengembara dari 26 negara yang dikenal pasti telah melaporkan penularan varian Omicron, daripada menyertai GPL.
Katanya, negara tersebut adalah United Kingdom, Portugal, Belanda, Australia, Kanada, Korea Selatan, Hong Kong (SAR China), Israel, Itali, Jerman, Denmark, Sweden, Nigeria dan Belgium.
Negara lain ialah Jepun, Brazil, Norway, Republik Czech, Perancis/Reunion Island, Austria, Arab Saudi, Sepanyol, Ghana, Republik Ireland, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat (California).
Beliau berkata pengembara dari negara berkenaan atau mempunyai sejarah perjalanan ke negara tersebut dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan untuk menyertai GPL.