Ombak setinggi bangunan lima tingkat lumrah bagi penduduk Pulau Perhentian

Bernama
Disember 20, 2019 12:10 MYT
Bagi penduduk Pulau Perhentian, ombak setinggi bangunan lima tingkat umpama asam garam dan cabaran pada setiap musim tengkujuh, malah ia pasti akan dirindui oleh anak tempatan. - Gambar hiasan
Pernahkah anda melihat atau melalui pengalaman dihentam ombak setinggi bangunan lima tingkat dengan diiringi angin kuat?
Mungkin ia menjadi perkara menakutkan bagi sesetengah orang namun berbeza dengan penduduk Pulau Perhentian kerana ia umpama asam garam dan cabaran pada setiap musim tengkujuh, malah ia pasti akan dirindui oleh anak tempatan.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pulau Perhentian, Mohd Zakuan Mat Nasir berkata, ombak besar itu boleh dilihat dari kawasan kampung dan ketika penduduk keluar ke laut untuk menangkap ikan atau dalam perjalanan ke daratan bagi mendapatkan bekalan makanan.
"Kami sudah biasa dengan angin kencang dan ombak besar tetapi bagi orang luar ia akan jadi sesuatu yang menakutkan. Bagi kami yang lahir di sini, adakalanya dentuman ombak itu memberi gambaran untuk menduga bagaimana gelora di tengah laut dan sebolehnya mengelak jika bergerak dengan bot kecil.
"Kami yang tinggal di kawasan yang lebih dikenali Pulau Perhentian Kecil ini masih beruntung kerana terlindung di sebalik sebuah bukit yang berada di Pulau Perhentian Besar, yang mana ia mampu mengelak kerosakan teruk pada kawasan perumahan," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Mohd Zakuan, bukan cabaran itu sahaja, tetapi penduduk yang rata-rata adalah nelayan dan pekerja di pusat peranginan juga berdepan dengan kesukaran mendapatkan rawatan apabila berlaku kecemasan, kenaikan harga barang serta kesukaran mendapatkan wang tunai menerusi mesin pengeluaran wang (ATM).
Katanya, pihak Kementerian Kesihatan ada menyediakan sebuah bot untuk membolehkan penduduk mendapatkan rawatan lanjut di hospital kerana di kampung itu hanya mempunyai klinik untuk rawatan penyakit biasa.
Namun, menurutnya keadaan ombak bergelora kadang kala membahayakan pergerakan bot dan disebabkan itu, helikopter akan digunakan untuk menyalurkan bantuan serta membawa pesakit ke hospital terdekat.
Mengenai kenaikan harga barang, beliau berkata penduduk reda dengan keadaan itu kerana maklum kesukaran peniaga untuk mendapatkan bahan mentah dan runcit dalam keadaan laut bergelora dan sesetengah penduduk telah melakukan persiapan awal dengan membeli barang keperluan terutama beras, sardin, gas dan beberapa barang makanan lain.
"Tambang bot untuk keluar lebih kurang RM25 seorang tetapi dalam keadaan laut bergelora ni tak banyak bot keluar masuk. Bekalan seperti ayam biasanya tiga kali ganda mahal dari kawasan darat. Jangan terkejut jika makan roti canai di sini sekeping dalam RM6," katanya.
Tinjauan juga mendapati hanya ada satu sahaja mesin pengeluaran wang tunai di pulau terbabit dan dimaklumkan kerap 'out of service' yang memakan masa untuk dibaiki hingga menyebabkan penduduk mengalami kesukaran dalam urusan jual beli.
Mohd Zakuan berkata, sudah sampai masanya perkhidmatan itu ditambah baik dan sekurang-kurangnya perlu ada tiga ATM kerana ia bukan sahaja digunakan oleh penduduk tetapi juga pelancong yang menginap di beberapa chalet milik penduduk.
Pada musim tengkujuh juga, golongan muda yang bekerja di Pulau Perhentian Besar akan keluar ke negeri lain untuk bekerja sambilan bagi memperoleh pendapatan dan meneruskan kelangsungan hidup.
Ia berikutan penutupan pusat peranginan bermula Oktober dan hanya akan dibuka semula pada Mac bagi menjaga keselamatan pelancong ekoran hujan lebat dan ombak kuat.
"Kebanyakan mereka akan ke Pulau Langkawi dan Johor, tetapi ada juga yang bekerja sekitar Setiu dan bandar Kuala Terengganu sehingga pusat peranginan di sini beroperasi semula," katanya.
Bertepatan dengan musim tengkujuh juga, kebanyakan penduduk biasanya memillih untuk keluar ke kawasan darat kerana lebih selamat dan mudah mendapatkan barang keperluan terutama bagi mereka yang mempunyai anak yang masih bersekolah.
Selain itu, Mohd Zakuan turut membangkitkan kepadatan penduduk sekitar 2,300 orang di pulau itu menyebabkan kawasan penempatan sempit, malah berlaku masalah saliran dan perparitan terutama apabila hujan lebat.
Bukan itu sahaja, penduduk mengalami masalah milikan tanah hingga kebanyakan daripada penduduk terpaksa berkongsi hingga ada antaranya tinggal lima keluarga serumah, katanya. - BERNAMA
#bangunan lima tingkat #musim tengkujuh #ombak #Penduduk #Pulau Perhentian
;