Ombak 4 meter, feri bawa 259 penumpang dari Langkawi terpaksa patah balik
Adie Sufian Zulkefli
Julai 28, 2024 15:11 MYT
Julai 28, 2024 15:11 MYT
LANGKAWI: Sebuah feri yang membawa 259 penumpang dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah terpaksa berpatah balik, akibat cuaca buruk yang berlaku pada Ahad.
Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, feri terbabit bertolak dari Terminal Feri Penumpang Kuah di Langkawi pada jam 12.30 tengah tadi.
“Selepas 25 minit berlayar, feri itu terpaksa berpatah balik pada jam 12.55 tengah hari selepas ombak kuat setinggi empat meter.
"Feri itu berada pada kedudukan 15 batu nautika dari Pulau Langkawi ketika berhadapan laut bergelora dan cuaca buruk.
“Berikutan itu, kami memutuskan untuk feri itu berpatah balik ke Pulau Langkawi kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko demi keselamatan penumpang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Semalam, kira-kira 808 penumpang feri di Kuala Kedah dan Pulau Langkawi terkandas selepas
syarikat feri itu terpaksa membatalkan empat perjalanan di sebelah petang susulan cuaca buruk di laut dengan ombak setinggi empat meter.
Ia membabitkan dua trip dari Kuala Kedah ke Langkawi dan dua trip dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah.
Ketinggian ombak sehingga empat meter dengan kelajuan angin kira-kira 16 hingga 18 knots boleh membahayakan aktiviti pelayaran feri dan bot-bot kecil.