Olimpik Tokyo 2020: Misi Farah Ann, Azizul Hasni Awang buru pingat buat negara

Eton Khir
Julai 20, 2021 20:04 MYT
Semangat juang Farah Ann Abdul Hadi dan Azizulhasni Awang semakin membara untuk membawa pulang pingat buat Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
KUALA LUMPUR: Bahang Sukan Olimpik Tokyo 2020 kian terasa apabila sebilangan atlet negara telah menjejakkan kaki ke perkampungan Olimpik pada Ahad.
Walaupun, temasya sukan ini dilaksanakan lewat dari tarikh asalnya namun semangat juang atlet yang terlibat tidak pernah pudar demi meraih pingat buat Malaysia.
Semangat berkobar-kobar untuk mengharumkan nama negara dirasakan ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi yang berkongsi sesi latihan pertamanya di Tokyo dengan memaklumkan beliau masih mencuba untuk membiasakan diri dengan situasi di sana.
Atlet berusia 27 tahun itu, layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.
Sementara itu, semangat juang jaguh atlet berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang juga semakin membara untuk membawa pulang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo dalam acara keirin dan pecut individu.
Meskipun belum ke Tokyo namun jelas dapat dilihat menerusi perkongsian Instagram miliknya yang memuat naik beberapa video latihan.
Beliau bersama rakan seperjuagan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan berlepas ke Tokyo pada 25 Julai ini.
Mohd Azizulhasni pernah melakar sejarah apabila menjadi atlet berbasikal trek pertama negara memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Kecemerlangannya dalam gelanggang sukan sekali gus memasyhurkan nama negara menyebakan Azizulhasni dianugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) oleh Sultan Terengganu baru-baru ini.
A post shared by Azizul | Awang (@azizulhasniawang)
#Azizulhasni Awang #Abdul Hadi Awang #Instagram #video #Brazil #Tokyo #Rio de Janeiro #Jerman #sukan #Olimpik #Malaysia #terengganu #gimnastik #Farah Ann #pingat emas #Muhammad Shah Firdaus Sahrom
;