Olimpik Paris: Ombak besar jejaskan pertandingan luncur air

Bernama
Julai 30, 2024 05:45 MYT
Aksi Gabriel Medina ketika pusingan ketiga dalam pertandingan luncur air Olimpik Paris, di Teahupo'o, Tahiti, 29 Julai 2024. (Foto AP)
TAHITI: Keadaan cuaca dan ombak yang meningkat pada Isnin membolehkan peluncur terbaik dunia mempamerkan aksi hebat di Sukan Olimpik Paris sebelum pertandingan dihentikan buat sementara waktu, lapor Agensi Berita Xinhua.
Medan untuk lelaki telah dikurangkan kepada lapan peserta terakhir, kerana ombak setinggi tiga meter menyaksikan beberapa persembahan terbaik dalam pertandingan setakat ini.
Peluncur Brazil, Gabriel Medina mencatatkan rekod baharu untuk skor gelombang tunggal tertinggi dalam sejarah Olimpik dengan 9.90, manakala atlet kegemaran tuan rumah Joan Duru mencatatkan jumlah keseluruhan tertinggi dengan 18.13.
"Ia sangat berbahaya di luar sana. Apabila ombaknya berongga seperti ini, ia sangat cetek. Terdapat ombak padu di luar sana, tetapi kami menyukainya," kata Medina selepas berjaya membalas dendam terhadap pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020, Kanoa Igarashi dari Jepun.
Dua peluncur Amerika Syarikat (AS) tersingkir daripada perlumbaan apabila John John Florence tewas kepada pesaing Australia, Jack Robinson, manakala rakan sepasukan Florence, Griffin Colapinto, tewas kepada peluncur tempatan Tahiti, Kauli Vaast.
Selepas pusingan ketiga selesai, yang menentukan peserta suku akhir bagi kategori lelaki, pusingan ketiga wanita dibatalkan kerana keadaan cuaca yang semakin buruk dan pertandingan dijangka tidak diteruskan pada Selasa.
-- BERNAMA
#luncur air #ombak besar #Sukan Olimpik Paris 2024 #gelombang tunggal tertinggi
;