KUALA LUMPUR: Empat atlet profesional negara yang akan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 telah diberikan geran bantuan berjumlah RM300,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Geran itu disalurkan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) kepada pemain badminton perseorangan Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei serta pemain golf Gavin Green dan Ashley Lau.

MSN menerusi kenyataan berkata bantuan itu merupakan inisiatif untuk meringankan beban mereka bagi menyertai beberapa kejohanan kelayakan, kejohanan pendedahan dan kem latihan selain mendapatkan rakan pelatih dan perkhidmatan sokongan demi memastikan persiapan serta latihan dalam keadaan optimum.


Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berharap bantuan tambahan itu sedikit sebanyak membantu mereka memberi tumpuan kepada persiapan masing-masing dan memberikan persembahan terbaik di kota Paris nanti.

"Ini adalah komitmen kami untuk membantu setiap atlet yang membawa bendera Malaysia, bahawa mereka bukan sahaja akan menerima perkhidmatan daripada pasukan ISN (Institut Sukan Negara), tetapi juga bantuan kewangan daripada kerajaan. Kami mahu para atlet tahu mereka pergi dengan sokongan penuh kerajaan dan seluruh negara," katanya dalam kenyataan sama.

Acara badminton akan berlangsung di Porte de La Chapelle Arena bermula 27 Julai hingga 5 Ogos, manakala golf diadakan di Le Golf National dari 1 hingga 10 Ogos.

Sebanyak 26 atlet bakal mewakili Malaysia di Olimpik Paris bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

-- BERNAMA