Olimpik Paris 2024: Shah Firdaus terlibat kemalangan di pusingan akhir keirin

Astro Awani
Ogos 11, 2024 11:44 MYT
Biarpun terjatuh apabila terbabit dalam pelanggaran dengan pelumba Jepun dan Great Britain, Shah Firdaus gigih bangkit dan menghabiskan perlumbaan dengan catatan masa 3.348 minit di belakang pemenang Harrie Lavreysen dari Belanda. -Bernama
PARIS: Perjuangan wakil tunggal negara dalam acara keirin, Muhammad Shah Firdaus Shahrom terhenti apabila beliau menduduki tempat keempat dalam pusingan final di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines pada hari terakhir temasya Olimpik 2024 di Paris.
Namun, biarpun terjatuh apabila terbabit dalam insiden pelanggaran dengan pelumba Jepun dan Great Britain, beliau bangkit dan menghabiskan perlumbaan dengan catatan masa 3.348 minit di belakang pemenang Harrie Lavreysen dari Belanda.
Namun, juri memutuskan penyertaan Shah Firdaus terbatal apabila beliau didapati memasuki laluan pelumba lain.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing diungguli dua pelumba dari New Zealand, Matthew Richardson dan Matthew Glaezer.
Awal hari ini, sehari selepas atlet berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang tersingkir, rakan sepasukan Shah Firdaus Sahrom enggan membiarkan harapan jutaan rakyat Malaysia terus terkubur.
Pelumba berusia 28 tahun berasal dari Muar, Johor itu berjaya mengukir kegembiraan apabila mara ke separuh akhir acara keirin lelaki di velodrom itu pada hari terakhir temasya.
Dalam saingan di peringkat separuh akhir, Shah Firdaus cuba merapatkan jurang dengan pelumba di tempat ketiga Kaiya Ota dari Jepun, sebelum pecutan beliau terganggu selepas dihimpit seorang pelumba di kedudukan kelima.
Pelumba berusia 28 tahun itu akhirnya terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat dengan 0.437 saat di belakang pendahulu M Richardson dari Australia.
Namun, tuah menyebelahi Shah Firdaus apabila Ota disingkirkan daripada saingan tersebut, sekali gus menyaksikan beliau mara ke peringkat akhir.
Di peringkat akhir, beliau bermula dengan baik, namun insiden pelanggaran dengan pelumba Great Britain Jack Carlin dan pelumba Jepun Shinji Nakano meranapkan segala impian Malaysia.
Apa pun tahniah Shah Firdaus, anda kekal wira di hati kami.
#Shah Firdaus #final keirin #rakyat Malaysia #Sukan Olimpik Paris 2024