OldTown White Coffee perkenal Menu Rahmah bermula Khamis ini
Bernama
Februari 20, 2023 14:27 MYT
Februari 20, 2023 14:27 MYT
KUALA LUMPUR: OldTown White Coffee akan mempekenalkan tiga jenis Menu Rahmah antara harga RM4.50 dan RM5 di semua cawangannya di seluruh negara bermula Khamis ini.
Ketua Pegawai Pembangunan Kopitiam Asia Pacific Deric Yeo berkata menu tersebut ialah Nasi Lemak Rahmah, Nasi Lemak Rahmah dengan sosej dan Nasi Lemak Rahmah dengan ayam cincang yang akan dihidangkan bersama air limau.
"Setiap orang akan dapat menikmati menu ini kerana kami tidak mampu untuk mengenal pasti siapa B40...menu ini akan ditawarkan di semua cawangan di seluruh negara," katanya kepada Bernama selepas Program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, di sini hari ini.
Menurutnya dalam usaha menjayakan menu itu, banyak proses dilalui bagi mendapatkan resipi tepat, sihat serta bahan yang digunakan adalah halal supaya boleh dihidangkan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Beliau turut memberi jaminan bahawa penyediaan Menu Rahmah menggunakan kaedah sama dengan menu lain untuk memastikan kandungan khasiat makanan yang dihidangkan tetap dijaga walaupun harganya lebih murah.
Deric berkata OldTown White Coffee juga akan memperkenalkan menu lebih sihat bermula tahun ini dengan melancarkan hidangan berasaskan tumbuh-tumbuhan yang kaya dengan protein dan serat.
"Ini bukan bermakna kita akan mengubah semua menu sedia ada, cuma kita akan menambah satu lagi kategori untuk golongan yang lebih prihatin kepada kesihatan, di seluruh cawangan di Malaysia.
"Pada masa ini, kita sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat (Future Food Sdn Bhd) yang menyediakan hidangan daging berasaskan tumbuhan yang kaya dengan protein dan serat daripada tumbuh-tumbuhan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan membuat promosi menu 'chicken popcorn' yang berasaskan tumbuhan semperna konsert kumpulan Korean-Pop, Black Pink di Bukit Jalil, bulan depan.
"Kita akan adakan kiosk di konsert itu untuk peminat Black Pink membeli makanan...dan kita sediakan makanan yang mudah dan enak untuk dinikmati semasa persembahan," katanya.
-- BERNAMA