OKU tidak dianggap masyarakat terpinggir

Bernama
Mei 19, 2013 09:54 MYT
Orang Kelainan Upaya (OKU) di negara ini tidak lagi dianggap sebagai masyarakat terpinggir atau menjadi mangsa diskriminasi, kata Naib Cancelor Universiti Antarabangsa Quest Perak, Datuk Prof Dr Hashim Yaacob.
Malah, mereka diberi perhatian dan penghargaan oleh kerajaan jika mereka mampu merebut peluang yang disediakan melalui sistem dan dasar pendidikan negara sekarang, katanya.
"Di era pembangunan negara masa kini, golongan tersebut bakal menjadi penyumbang kepada pembangunan modal insan yang berguna kepada negara.
"Kerajaan yang ada hari ini prihatin terhadap nasib masa depan golongan itu asalkan mereka mampu merebut peluang-peluang yang disediakan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Seminar Sains Kemanusiaan OKU Peringkat Kebangsaan 2013 di sini hari ini.
Seminar anjuran Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah (PPBPI) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan dirasmikan Pengarah Kampus UMK Cawangan Jeli, Prof Dr Ibrahim Omar.
Hadir sama Pengarah PPBPI UMK, Prof Dr Farok Zakaria.
Dr Ibrahim berkata objektif program itu antara lain untuk menyediakan platform bagi para intelektual dari pelbagai bidang, tokoh masyarakat untuk menyumbang hasil penyelidikan, idea dan buah fikiran yang menjurus kepada penyelesaian permasalahan mengenai isu pembangunan modal insan OKU serta sumbangan mereka kepada manusia sejagat.
"Ia juga bertujuan meneliti cabaran dan isu melibatkan modal insan OKU khususnya krisis keyakinan diri OKU di era globalisasi serta mengenal pasti permasalahan yang bersifat fundamental bagi mencari jalan penyelesaian," katanya.
#diskriminasi #OKU #Prof Dr Hashim Yaacob #tidak terpinggir
;