OKU Sentral sambut Hari OKU Antarabangsa dengan Konsert ILHAM Isnin ini - Ras Adiba

Bernama
Disember 17, 2022 07:15 MYT
Ras Adiba berkata konsert yang diadakan pada skala besar kali ini diharap dapat mengembangkan sayap sehingga ke luar negara suatu hari nanti. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persatuan OKU Sentral (OKU Sentral) akan menyambut Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Antarabangsa dengan persembahan menarik Konsert ILHAM 2022 yang mengetengahkan penghibur pentas berbakat dalam kalangan OKU, Isnin ini (19 Dis).
Presiden OKU Sentral Datuk Ras Adiba Radzi berkata Konsert ILHAM 2022 akan menampilkan persembahan rakan-rakan OKU dengan harapan ia akan dapat menaikkan semangat dan memperkasakan mereka kerana konsert ini merupakan satu platform untuk menonjolkan bakat mereka sebagai penghibur.
"Tidak dapat dinafikan dua tahun lepas merupakan satu tempoh mencabar buat rakan-rakan OKU. Kami kehilangan beberapa orang daripada mereka dan ramai yang juga kehilangan orang tersayang serta bergelut dengan masalah kewangan.
"Justeru, tiba masanya untuk kami meraikan mereka dan mengalami sendiri 'keajaiban' mereka secara langsung dan memperingati Hari OKU Antarabangsa yang disambut di seluruh dunia 3 Dis setiap tahun," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ras Adiba yang merupakan seorang senator mewakili komuniti OKU di Dewan Negara berharap lebih ramai yang akan menemui dan menghargai penghibur OKU berbakat ini.
Konsert ini akan berlangsung dalam dua sesi, pukul 3 petang dan 8 malam di Stage 1 Theatre, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Pusat Beli-Belah 1 Utama.
Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata beliau bersyukur kerana diberikan peluang untuk melaksanakan misi OKU Sentral dalam mewakili dan memperkasakan OKU.
"Saya amat berterima kasih dengan rakan OKU kami yang berbakat dan setuju untuk tampil mempersembahkan bakat mereka dan penting bagi kami untuk berkongsi keupayaan dan kemahiran mereka itu," katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua rakan kongsi dan penyokong program termasuk Yayasan Hasanah, CIMB, Yayasan CIMB, Yayasan Sime Darby, Yayasan Telekom Malaysia, Celmonzee Wellness dan Glenreagh Sdn Bhd.
Ketika dihubungi Bernama, Ras Adiba berkata konsert yang diadakan pada skala besar kali ini diharap dapat mengembangkan sayap sehingga ke luar negara suatu hari nanti.
"KIta juga berharap ada peluang untuk membawa persembahan ini ke seluruh negara supaya setiap negeri dapat melihat persembahan kami golongan OKU dengan tajaan daripada pihak yang menyokong kita," katanya.
Beliau berkata konsert kali ini menjanjikan lebih kepelbagaian persembahan yang terdiri daripada nyanyian, pelbagai tarian termasuk tradisional dan persembahan daripada golongan kanak-kanak OKU.
Bagi mereka yang berminat untuk menonton konsert ini boleh menghubungi pihak terlibat iaitu Eita di talian 012 325 0326 atau Linda di talian 013 356 5939 untuk tempahan tiket, tempat untuk kedua-dua sesi adalah terhad.
-- BERNAMA
#OKU Sentral #Hari OKU antarabangsa #Konsert ILHAM 2022 #Ras Adiba Radzi
;