OKU mengesot turun tangga disahkan kakitangan Jakoa Pahang
Sinar Harian
Januari 20, 2022 06:40 MYT
Januari 20, 2022 06:40 MYT
KUANTAN: Lelaki orang kurang upaya (OKU) yang videonya sedang mengesot menuruni anak tangga dari tingkat tiga di Wisma Persekutuan di sini tular disahkan sebagai kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang.
Pengarahnya, Johari Alwi berkata, penularan video Husny Hussain, 55, yang merupakan OKU ketidakupayaan fizikal bukan untuk meraih simpati daripada masyarakat semata-mata.
Menurutnya, sebaliknya ia adalah sebuah ekspresi simpati daripada rakan-rakan sekerja yang tidak sanggup melihat kesusahan yang dilalui Husny.
"Husny akan bersusah-payah menaiki dan menuruni tangga apabila berlakunya kerosakan lif dan perkara ini (kerosakan lif) tidak dapat dielakkan daripada berlaku di Wisma Persekutuan di sini.
"Namun begitu, kita dapati Husny cekal dan tabah dalam mengharungi apa jua cabaran demi melaksanakan tugas mulia kepada masyarakat orang asli, malahan Husny juga adalah salah seorang atlet kebangsaan yang mewakili Malaysia dalam acara Sukan Lawn Ball," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Sinar Harian sebelum ini menyiarkan satu artikel mengenai penularan satu video di dalam aplikasi TikTok mengenai seorang lelaki OKU mengesot menuruni anak tangga dari tingkat tiga di Wisma Persekutuan di sini pada Khamis.
Video berdurasi satu minit tiga saat itu memperlihatkan dia mengesot satu persatu anak tangga akibat lif dalam bangunan terbabit dipercayai rosak.
Menjawab pertanyaan kenapa Husny tidak dipapah rakan sekerja ketika menuruni atau menaiki tangga, Johari menjelaskan, Husny akan berasa sakit sekiranya didukung atau dipapah oleh rakan sekerja.
Tambahnya, bahkan beliau lebih selesa untuk berdikari sama ada ketika menuruni atau menaiki anak tangga tanpa bantuan daripada orang lain.
"Kita akan sentiasa memastikan persekitaran kerja kondusif dan mesra untuk golongan istimewa selain itu galakan serta kerjasama diberikan oleh rakan sekerja semua kakitangan di Jakoa Pahang kepada beliau," ujarnya.
Dalam pada itu, Johari berkata, pihak pengurusan bangunan Wisma Persekutuan telah hadir ke pejabat Jakoa bagi memberikan penjelasan selepas penularan video terbabit.
"Mereka sudah memohon maaf atas kesulitan yang terjadi dan berjanji akan menyelesaikan masalah kerosakan lif tersebut secepat mungkin.
"Walau bagaimanapun, difahamkan kesemua keempat-empat lif yang sering rosak sejak November lalu akan diganti sepenuh pada bulan Mei ini," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian