OKU maut dilanggar kereta

Adie Sufian Zulkefli
Jun 1, 2020 17:49 MYT
Mangsa, Pung Ching Leong meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam, maut dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di hadapan stesen minyak di berhampiran Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada Isnin.
Mangsa, Pung Ching Leong, 47, dari Taman Teratai, Jalan Langgar meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Senior Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, siasatan awal mendapati kereta Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun datang dari arah Pokok Sena menghala ke pusat bandar.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu yang juga penjawat awam itu sedang memandu laju berada di lorong kanan serta tidak nampak mangsa melintas lalu melanggar mangsa.
Akibat rempuhan itu mangsa terpelanting 10 meter ke tengah jalan lalu meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Jabatan Forensik, HSB untuk bedah siasat.
Penjawat awam yang bekerja di Pulau Pinang itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Mohd Rozi memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#Hospital Sultanah Bahiyah #Kedah #lelaki OKU #lembam #maut dilanggar kereta #Orang Kurang Upaya #Perodua Viva #pokok sena
;