OKU lemas ketika mandi kolam di Bukit Merah
Abd Razak Mohd Ali
Mac 20, 2022 17:27 MYT
Mac 20, 2022 17:27 MYT
BAGAN SERAI: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) lemas ketika mandi bersama-sama rakannya di jeti Kampung Tepi Kolam, Bukit Merah, dekat sini, hari ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2 petang.
Katanya, setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati seorang mangsa lelaki OKU dipercayai lemas ketika sedang mandi bersama rakan di kolam.
“Mangsa telah ditemui oleh anggota bomba pada jam 2.40 petang, kira-kira lima meter dari jeti, pada kedalaman sekitar empat meter.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Anuar Rashid tamat jam 4.10 petang.