OKU harap EPC dan bantuan am dinaikkan dalam Bajet 2015

Bernama
Oktober 2, 2014 23:17 MYT
Jumlah EPC yang diterima ketika tidak lagi relevan dengan kos sarah hidup sekarang.
Kenaikan Elaun Pekerja Cacat (EPC) dan bantuan am untuk Orang Kurang Upaya (OKU), adalah antara yang diharapkan golongan itu pada pembentangan Bajet 2015, 10 Okt ini.
Presiden Persatuan Wanita Kurang Upaya Malaysia Senator Bathmavathi Krishnan berkata kenaikan ini sangat diperlukan selaras kenaikan kos sara hidup ketika ini.
"Sekarang ini OKU bekerja yang berpendapatan kurang RM1,200 menerima EPC sebanyak RM300 sebulan, namun kita dapati jumlah ini tidak lagi relevan buat masa kini.
"Begitu juga bantuan am sebanyak RM150 bagi OKU tidak bekerja yang kita harap juga boleh dinaikkan sehingga RM300 sebulan, semua ini telah kita usulkan kepada kerajaan dan sangat berharap ada berita baik pada pembentangan bajet nanti," katanya ketika menjadi tetamu program 'Dalam Radar' terbitan Radio 24 di sini.
Bathmavathi yang juga ahli Majlis Kebangsaan bagi OKU berharap kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyelaraskan hal-hal berkaitan OKU.
Katanya, dengan penyelarasan di bawah satu badan atau jawatankuasa, adalah lebih mudah untuk memastikan semua keperluan OKU boleh dipenuhi kerana pada masa ini terdapat beberapa kementerian yang mengurus keperluan OKU di negara ini.
"Contohnya Akta OKU 2008 diselaraskan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat manakala penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Seragam Bangunan berkaitan kemudahan OKU di setiap bangunan pula di bawah kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"Mungkin jika ia diletakkan di bawah satu bumbung, penyelarasan berkaitan keperluan OKU serta apa sahaja isu lebih mudah dilaksanakan," katanya.
#Elaun Pekerja Cacat #epc #OKU #Orang Kurang Upaya
;