OKU dituduh tipu pakej umrah babitkan kerugian RM89,000

Noraniza Kamsani
Februari 26, 2018 20:23 MYT
Tuan Mohd Yusri dibawa keluar oleh anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pekan hari ini. - Astro AWANI/Noraniza Kamsani
Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) masalah penglihatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 13 pertuduhan penipuan pakej umrah membabitkan kerugian RM89,000 sejak dua tahun lalu.
Tertuduh, Tuan Mohd Yusri Tuan Long, 38 tahun, dari Taiping, Perak bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.
Tuan Mohd Yusri didakwa menawarkan pakej umrah yang tidak wujud sehingga memperdayakan mangsa memindahkan wang ke akaun bank miliknya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Felda Keratong, Bandar Muadzam Shah dan Bandar Tun Razak di Rompin dari Disember 2016 hingga Oktober 2017.
Tuan Mohd Yusri didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Syamsul Kahar Ahmad Nadri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Najwa kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM34,000 dan menetapkan tarikh 15 Mac untuk sebutan semula kes.
Pada 14 Feb lalu, polis menahan Tuan Mohd Yusri yang dipercayai menjadi dalang utama kes penipuan pakej umrah yang didakwa dilakukan seorang suri rumah, Zaiton Man, 48, atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Ton di Muadzam Shah, Rompin.
Lelaki berkenaan ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Selangor.
#Felda Keratong #pakej umrah #tipu
;