OKU dipukul: Beri ruang pihak berkuasa siasat - Fahmi
Bernama
Jun 1, 2024 14:30 MYT
Jun 1, 2024 14:30 MYT
KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes pemandu e-panggilan orang kurang upaya (OKU) didakwa dipukul pengawal peribadi seorang kenamaan di lobi sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain juga telah memberi jaminan bahawa siasatan akan dilakukan, dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi berhubung perkara itu.
"Ini (spekulasi) tidak akan membantu siasatan dan kita serahkan kepada pihak berkuasa.
"Sekiranya didapati di penghujung siasatan itu perlu diambil beberapa tindakan termasuk membawa sesiapa ke mahkamah, itu kita serah kepada AGC (Jabatan Peguam Negara)," katanya.
Beliau kepada demikian pemberita selepas merasmikan Karnival Kita MADANI Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.
Fahmi juga mengingatkan warganet untuk berhati-hati dan tidak menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) di media sosial, selain ia juga bertujuan untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.
"Kita boleh menyampaikan pandangan tapi sekiranya kita melampaui batas, maka tindakan lain yang perlu diambil oleh pihak berkuasa," katanya.
Semalam, media melaporkan Razarudin berkata polis akan memanggil individu terlibat dalam kes itu ke Bukit Aman, untuk membantu siasatan dalam masa terdekat dan pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh berdasarkan perkembangan terkini.
Sementara itu ditanya mengenai isu pelantikan syarikat suami Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sebagai pengendali Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor, Fahmi berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan sebarang maklumat yang mengandungi data peribadi mana-mana individu atau personally identifiable information, yang melanggar undang-undang di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan boleh dikenakan tindakan.
"Kepada netizen sekiranya anda melakukan tindakan doxxing iaitu memperagakan dan menguar-uarkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, nombor pasport, alamat rumah dan nombor telefon, ini salah di sisi undang-undang.
"Jangan sampai ke tahap itu dan ada beberapa pihak khususnya dalam kalangan pembangkang yang cuba menangguk di air keruh. Bagi saya, serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat," katanya.
Semalam, Bernama melaporkan sumber SPRM memaklumkan siasatan menyeluruh berhubung perkara itu susulan pihaknya menerima beberapa aduan baru berhubung kes suami seorang menteri yang dilantik untuk memberi bukti konsep satu projek pengangkutan.
-- BERNAMA