OKU cacat penglihatan seronok diberi peluang berbasikal

Bernama
Mac 27, 2021 05:03 MYT
Program kayuhan tersebut merupakan penganjuran kali pertama melibatkan warga OKU cacat penglihatan. --fotoBERNAMA
IPOH: Seramai 22 peserta dari Persatuan Orang Buta Malaysia (cawangan Perak) teruja diberi peluang berbasikal mengelilingi Taman D.R. Seenivasagam baru-baru ini.
Program anjuran Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Perak dan Tourism Perak itu memberi peluang kepada peserta untuk mengenali komponen basikal sebelum memulakan pergerakan.
Mereka kemudiannya berpeluang mengayuh basikal di kawasan rekreasi itu dengan ditemani pemandu pelancong.
Seorang peserta, Shahril Hasan, 51, yang cacat penglihatan sejak tujuh tahun lalu akibat penyakit kencing manis berkata keseronokan itu tidak boleh digambarkan dan mengimbau kembali kenangannya mengayuh basikal ketika masih boleh melihat.
"Saya teruja walaupun saya tidak nampak kerana ini pertama kali menaiki basikal sejak buta. Saya berasa letih namun satu pengalaman yang baharu dan sangat seronok diberi pendedahan merasai semula menaiki basikal," katanya kepada Bernama.
Aqil Aiman, 19, yang cacat penglihatan sejak Tingkatan Satu akibat penyakit kanser otak turut meluahkan kegembiraan apabila dapat mengayuh basikal dalam suasana yang penuh ceria.
"Saya tidak boleh nampak jauh tetapi saya boleh nampak jika dekat. Saya rasa sangat gembira dapat berjumpa orang ramai di taman ini. Ia suasana yang lain," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata program kayuhan tersebut merupakan penganjuran kali pertama melibatkan warga OKU cacat penglihatan.
Nolee berkata program tersebut merupakan satu cabaran memandangkan kumpulan OKU tersebut tidak dapat melihat namun tidak menghalang mereka merasai pengalaman menyeronokkan itu.
"Tujuan program ini kami mahu mempromosikan pelancongan Perak iaitu selamat untuk lakukan lawatan dengan menerapkan amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," tambahnya.
-- BERNAMA
#SOP #kerajaan #pelancongan #OKU #operasi #pelancong #Taman D R Seenivasagam #Persatuan Orang Buta Malaysia #Perak #buta #basikal #Tourism Perak #Persatuan Pemandu Pelancong #Nolee Ashilin Mohamed Radzi #komponen basikal #kanser otak
;