'Oktoberfest', pesta arak dua perkara berbeza - Timb Speaker
Bernama
Oktober 22, 2018 21:40 MYT
Oktober 22, 2018 21:40 MYT
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming bertindak menjelaskan kepada persidangan Dewan Rakyat hari ini mengenai pesta Oktoberbest yang kerap disalah takfsir sebagai pesta arak, bagi meredakan perbalahan beberapa anggota Parlimen berkaitan acara tersebut.
Nga, yang mempengerusikan sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 petang ini, bertindak membacakan sejarah "Oktoberfest" kepada anggota dewan dan berkata sambutan Oktoberfest dan pesta arak adalah dua perkara yang berbeza sama sekali.
Katanya Oktoberfest yang berasal dari Jerman adalah sebuah program diraja.
"Sejarah Oktoberfest. Putera Mahkota Ludwig, yang kemudian menjadi Raja Ludwig I, telah berkahwin dengan Puteri Therese dari Saxony (Saxony-Hildburghausen) pada 12 Oktober 1810. Warga Munich diundang untuk menghadiri perayaan yang diadakan di lapangan di depan pintu kota untuk merayakan majlis diraja dengan meriah.
"Sejarah 'Oktoberfest' adalah program diraja di Jerman tetapi apabila diterjemahkan menjadi pesta arak ia membawa maksud lain. Ini sedikit yang saya betulkan rekod," katanya.
Terdahulu, anggota Parlimen Kubang Kerian Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membangkitkan perkara itu dalam perbahasannya, dan menyifatkan pesta arak "Oktoberfest" adalah satu budaya yang tidak sesuai dipromosi di negara ini kerana ia boleh merosakkan akhlak rakyat.
"Apakah nilai yang kita perlu tanam kepada rakyat? Saya fikir semua agama tidak bersetuju membudayakan minum arak ini, tidak ada agama yang setuju, tidak ada kajian yang mendorong kepada kebaikan.
"Nilai ini tidak sesuai dengan budaya tempatan dan tidak sesuai dipromosi besar-besaran hingga menjadikan suatu fenomena bagi negara kita," katanya.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak dipersetujui kalangan anggota Parlimen lain.
Anggota Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai dalam menyuarakan rasa tidak bersetujunya dengan tindakan mengaitkan 'Oktoberfest' yang dianjurkan oleh Persatuan Malaysia-Jerman di Pulau Pinang baru-baru ini sebagai pesta arak.
Katanya pesta itu adalah satu pesta kebudayaan antarabangsa seperti 'Thai Festival'.
"Orang Jerman merupakan pelabur yang besar di Malaysia dan di negeri-negeri tertentu... sekiranya ia satu festival antarabangsa seperti anjuran Malaysian-German Society, saya rasa ia bukan satu masalah," katanya.
Kenyataan Wong dibantah Anggota Parlimen Pendang Awang Hashim yang berpendirian sekiranya 'Oktoberfest' dianjurkan ia dikhuatiri membawa pelbagai keburukan seperti gangguan seksual.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA
#Nga Kor Ming
#Oktoberfest
#program diraja
#Putera Mahkota Ludwig
#Puteri Therese
#Raja Ludwig
#Saxony-Hildburghausen
#Thai Festival
#Tuan Ibrahim Tuan Man