Oktoberfest: Hasrat sekat penganjuran bertentangan semangat Perlembagaan - Aziz Bari
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 1, 2022 12:48 MYT
Ogos 1, 2022 12:48 MYT
IPOH: Hasrat untuk menyekat penganjuran perayaan Oktoberfest adalah bertentangan dengan peruntukan dan semangat perlembagaan negara, kata Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari.
Beliau mendakwa, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad mengenai hasrat itu juga membayangkan sikap ekstrem pemimpin Pas berkenaan yang tidak sesuai dengan ciri-ciri majmuk masyarakat Malaysia.
Menurutnya, ia juga tidak selaras dengan ajaran Islam yang memberi ruang kepada masyarakat bukan Islam mengamalkan cara hidup mereka.
“Kita juga ingin bertanya, apa makna slogan 'Keluarga Malaysia' yang diuar-uarkan pentadbiran persekutuan yang ada sekarang?” soalnya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, parti itu menjunjung keluhuran Perlembagaan termasuk Perkara 3(1) tentang kedudukan Islam.
“DAP juga percaya ia tidak bertujuan menyekat kebebasan dan menafikan hak non-Muslim.
“DAP ingin mengingatkan menteri berkenaan supaya akur dengan kedudukan Islam yang diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, bukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“DAP juga suka mengingatkan menteri supaya tidak mendahului pihak polis yang bertanggungjawab ke atas ketenteraman awam,” ujarnya.
Abdul Aziz berkata, dalam konteks pembahagian kuasa di bawah konsep federalisme yang diamalkan, Idris juga perlu akur dengan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut berperanan dalam perkara ini.
“Kita mengambil maklum yang sebelum ini pihak Jakim telah ditegur oleh Sultan Selangor berhubung dengan perayaan Bon Odori yang berkisar kepada isu yang hampir sama.
“DAP ingin mengingatkan kerajaan persekutuan supaya mereka lebih berhati-hati dalam menangani isu-isu yang melibatkan non-Muslim,” tambahnya.
Abdul Aziz berpendapat, Malaysia tidak harus memberi isyarat yang salah tentang toleransi dan kerukunan hidup berbilang kaum dan agama di negara ini.
Khamis lalu, Idris berkata, perbuatan menjadikan minuman arak sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan.
Ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi pertanyaan lisan Dewan Rakyat, beliau berkata, semua pihak sewajarnya menghormati peraturan dan undang-undang negara Malaysia yang berasaskan Islam sebagai agama persekutuan.