OKT positif COVID-19 meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi

Bernama
Februari 19, 2022 11:56 MYT
Punca kematian OKT berkenaan masih tidak diketahui dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang lelaki warga tempatan iaitu Orang Kena Tahan (OKT) meninggal dunia di wad COVID-19 di Hospital Kota Tinggi, Johor, semalam.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata OKT berkenaan mengalami demam dan muntah serta disahkan positif wabak COVID-19, dihantar ke hospital berkenaan pada 16 Feb untuk rawatan lanjut.
"OKT sebelum ini ditumpangkan sementara dalam lokap polis ekoran penularan COVID-19 di penjara. Punca kematian OKT berkenaan masih tidak diketahui dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan.
"OKT berusia 43 tahun itu sebelum ini ditahan pada 21 Jan lepas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, Johor yang disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azri berkata OKT telah dituduh di mahkamah pada 25 Jan lepas dan jamin telah ditawarkan namun OKT gagal sediakan penjamin menyebabkan OKT diperintahkan menjalani tahanan reman penjara.
Beliau berkata tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Feb lepas dan akan dibicarakan pada 28 Feb ini.
-- BERNAMA
#COVID-19 #okt #Azri Ahmad #Hospital Kota Tinggi
;