OKT meninggal dunia selepas mengadu sakit, muntah dalam lokap
Siti Nur Aqilla Omar
Januari 12, 2023 10:10 MYT
Januari 12, 2023 10:10 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan yang mempunyai rekod orang dikehendaki polis (wanted) dilaporkan meninggal dunia semalam ketika sedang ditahan dalam lokap Balai Polis Larkin di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, sebelum itu orang kena tahan (OKT) yang berusia 47 tahun itu mengadu sakit dan muntah-muntah pada jam 6.20 pagi.
Katanya OKT kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Larkin untuk menerima rawatan pada jam 7.45 pagi.
"Pegawai perubatan yang memberi rawatan kemudian mengesahkan kematian OKT pada jam 8.30 pagi.
"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman akan menjalankan siasatan kes berkenaan.
"Bedah siasat dijadualkan hari ini di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, bagi mengetahui punca kematian dan tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Raub, OKT terbabit ditahan sementara di lokap berkenaan selepas ditahan pada kelmarin sebelum dijadualkan untuk dituduh di mahkamah, semalam.
"OKT terbabit ditahan kerana mempunyai rekod orang yang dikehendaki di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta mempunyai 12 rekod lampau berkaitan kes dadah," katanya.