OKT lolos lepas jalani saringan COVID-19 dipenjara empat bulan

Bernama
Januari 19, 2022 16:46 MYT
Pada hari kejadian, tertuduh melarikan diri daripada tahanan dan kawalan polis tetapi berjaya ditahan semula 50 meter dari lokasi kejadian sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang. - Gambar hiasan
BANGI: Seorang lelaki yang meloloskan diri ketika dibawa menaiki lori polis selepas menjalani saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Beranang dekat sini dan tular dalam media sosial, dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini.
Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai majistret menjatuhkan hukuman itu ke atas R. Theyagarajan, 24, selepas dia mengaku bersalah melarikan diri daripada jagaan anggota polis yang menahannya secara sah di sisi undang-undang.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 9 Jan lepas.
Theyagarajan didakwa melakukan perbuatan itu di Klinik Kesihatan Beranang, Hulu Langat di sini pada 11 pagi, 11 Jan lepas mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh melarikan diri daripada tahanan dan kawalan polis tetapi berjaya ditahan semula 50 meter dari lokasi kejadian sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum, namun Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman penjara mengambil kira dia telah membahayakan orang awam.
"Kebiasaannya, mereka yang dituduh di bawah kesalahan ini boleh dipenjara antara enam bulan hingga setahun. Ia akan menjadi pengajaran kepadanya dan orang awam agar tidak mengulangi perbuatan tersebut," kata Hakim Amir.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 19 Orang Kena Tahan (OKT) dari Balai Polis Kajang dibawa anggota polis ke klinik kesihatan berkenaan untuk menjalani saringan COVID-19.
Setelah selesai urusan saringan, kesemua OKT dimasukkan semula ke dalam lori namun seorang lelaki (tertuduh) cuba melarikan diri dan hasil semakan mendapati tertuduh ditangkap berhubung kes samun dan sedang dalam tempoh tahanan reman.
-- BERNAMA
#lolos dari polis #okt #COVID-19 #dipenjara
;