OKT lolos ditahan semula, direman tiga hari

Astro Awani
September 24, 2017 16:54 MYT
Seorang lelaki yang melarikan diri menggunakan kunci pendua gari dari Kompleks Mahkamah George Town, 6 Sept lalu berjaya ditahan semula pada Sabtu. - Astro AWANI
Seorang lelaki yang melarikan diri menggunakan kunci pendua gari dari Kompleks Mahkamah George Town pada 6 September lepas, berjaya ditahan polis semalam.
Khairul Nizam Abdullah Sani, 33, ditahan di Sungai Nibong selepas lebih dua minggu melarikan diri.
Polis kemudiannya mendapatkan perintah tahanan reman terhadap Khairul Nizam selama tiga hari mulai hari ini hingga 26 September bagi membantu siasatan.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Timbalan Pendaftar, Rehah Ismail, manakala suspek yang sebelum ini dituduh atas kesalahan dadah diwakili peguam R.Puran.
Pada 6 September lepas Khairul Nizam yang dipercayai mempunyai kunci pendua gari melarikan diri dari Kompleks Mahkamah George Town.
Beliau dan seorang lagi lelaki dipercayai menggunakan kunci pendua itu untuk membuka gari berantai yang dikenakan pada mereka bersama 27 tahanan lain.
Bagaimanapun, lelaki terbabit yang bersamanya dapat ditahan tidak jauh dari lokasi mereka melarikan diri manakala Khairul Nizam berjaya melarikan diri.
#Khairul Nizam Abdullah Sani #Kompleks Mahkamah Georgetown #Lolos #Tahanan
;