OIC bincang kembalikan kedudukan Rohingya di Myanmar - Syed Hamid

Bernama
Januari 16, 2017 23:26 MYT
SYED HAMID: Mesyuarat tergempar Menteri Luar OIC Khamis ini akan membincangkan usaha untuk mengembalikan stutus masyarakat Rohingya di Myanmar. - Gambar fail
Mesyuarat tergempar Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuala Lumpur Khamis ini akan membincangkan usaha untuk mengembalikan stutus masyarakat Rohingya di Myanmar.
Duta Khas OIC bagi Myanmar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata objektif utama mesyuarat berkenaan adalah untuk mewujudkan perlindungan bagi etnik minoriti itu, yang hak mereka sebagai warganegara telah dinafikan.
"Malaysia mencadangkan mesyuarat itu diadakan berikutan keadaan yang begitu mendesak, bukan kerana kami ingin campur tangan dalam hal ehwal dalaman Myanmar. Bukan juga kerana kami ingin berkonfrontasi dengan kerajaan Myanmar.
"Ini bukan isu perkauman seperti yang didakwa kerajaan negara itu, tetapi lebih kepada isu agama kerana mereka (rakyat Myanmar) menjadikan orang Islam sebagai sasaran dalam konflik mereka dengan Rohingya," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Masalah yang sedang melanda negeri Rakhine menyebabkan beribu-ribu orang masyarakat Rohingya meninggalkan Myanmmar dengan laporan menyatakan berlakunya kekejaman, termasuk rogol dan bunuh. Seluruh kampung dikatakan dibakar hangus termasuk ketika penduduk berada di rumah masing-masing.
Tindakan pasukan keselamatan Myanmmar itu terhadap masyarakat Rohingya merupakan perbuatan yang mencabul hak asasi manusia sewenang-wenangnya, kata Syed Hamid, dan memberitahu bahawa konflik itu mengancam keamanan, keselamatan dan ekonomi rantau ini serta mendorong wujudnya semangat radikal.
"Kami menyokong usaha kerajaan Myanmar untuk mengubah negara itu menjadi sebuah negara yang jauh lebih sejahtera di bawah kepimpinan baharu. Tetapi, transformasi yang dilaksanakan mestilah melibatkan semua sektor masyarakat.
"Mereka perlu mengakui wujudnya orang Rohingya, yang kewarganegaraan mereka dilucut tanpa sebab. Mereka merupakan kaum peribumi negara itu dan tanpa pengiktirafan itu, masalahnya akan terus melimpah ke negara jiran," katanya.
Bekas menteri luar itu juga menyuarakan kebimbangannya berhubung keengganan kerajaan Myanmar membenarkan Misi Makanan Flotilla memasuki negara itu bagi mengagihkan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Rohingya.
"Mereka benarkan misi kemanusiaan dari Indonesia untuk masuk. Kenapa mereka tidak boleh benarkan misi flotilla ini masuk juga?
"Mereka perlu faham bahawa misi flotilla itu dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan turut disertai NGO dari negara lain. Ia bukan dianjurkan kerajaan Malaysia," katanya.
Syed Hamid juga berkata Komuniti ASEAN, yang disifatkan ketua umum Myanmar Aung San Suu Kyi sebagai sebuah keluarga, perlulah menghormati dan memahami tanggungjawabnya bukan sahaja berlandaskan Piagam ASEAN tetapi juga undang-undang antarabangsa.
-- BERNAMA
#Myanmar #oic #Rakhine #Rohingya #Tan Sri Syed Hamid Albar
;